Floria Diraja Putrajaya: Kapsul masa 1995 pertama kali dibuka kepada umum
Bernama
Ogos 21, 2024 16:45 MYT
Ogos 21, 2024 16:45 MYT
PUTRAJAYA: Kapsul Masa ditanam pada 29 Ogos 1995 buat pertama kalinya dibuka untuk tontonan umum sempena Floria Diraja Putrajaya 2024 yang bermula esok sehingga 1 September ini.
Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Fadlun Mak Ujud berkata kapsul yang dibuka pada 2020 itu pertama kali dibuka kepada pengunjung untuk mereka melihat sendiri apa antara perkara yang terkandung di dalam kapsul berkenaan.
Beliau berkata pengunjung dapat melihat kapsul dan maklumat terkandung di dalamnya di Laman Perbadanan Putrajaya (PPj).
"Kelainan Floria Diraja tahun ini ialah kapsul yang ditanam pada 1995 dibuka kepada umum untuk melihat apa yang terkandung di dalamnya," katanya kepada media selepas sesi walkabout dan pratonton media Floria Diraja Putrajaya, di sini hari ini.
Fadlun berkata Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan merasmikan Floria Diraja esok dan orkid istimewa akan diperkenalkan bersempena perasmian itu.
Beliau berkata penganjuran Floria Diraja kali ke-13 di Persisiran Tasik, Presint 2 dengan kawasan seluas 6.07 hektar dan lebih 700,000 bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan pelbagai warna disusun hias dalam bentuk taman dengan gubahan yang menarik.
"Kita jangkakan sambutan menggalakkan dengan sejuta pengunjung setelah empat tahun tiada penganjuran Floria Diraja. Lokasi itu juga istimewa kerana ia di tengah-tengah bandar Putrajaya yang juga lokasi asal bermula Floria pada 2007," katanya.
Fadlun berkata bunga Petunia dipilih sebagai tema Floria Diraja Putrajaya 2024 kerana keunikan struktur pertumbuhan, keindahan warna kelopak bunga yang cantik dan menjurai dapat menyuntik elemen estetika seumpama menerangi dan menceriakan para pengunjung.
Selain itu, Floria Diraja Putrajaya 2024 akan mempamerkan lebih 500 jenis orkid daripada pelbagai spesies dan hibrid pelbagai warna termasuk lebih 15 koleksi orkid khas yang terdiri daripada nama-nama Diraja dan orang kenamaan.
Tema Floria Diraja tahun ini ialah "Raikan Bersama, Celebrate Together!" bermula 9 pagi hingga 10 malam pada Isnin hingga Khamis, manakala 9 pagi hingga 12 tengah malam pada Jumaat hingga Ahad.
Harga tiket bagi warganegara ialah RM10 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun), manakala bukan warganegara pula RM30 (dewasa) dan RM25 (kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun).
Bagi kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah dan orang kurang upaya (OKU) ialah percuma.
Kemudahan bas ulang-alik secara percuma disediakan dari MRT Putrajaya dengan kekerapan selama 30 minit bermula dari 7.30 pagi sehingga 10.30 malam setiap hari lsnin hingga Jumaat dan sehingga pukul 12.30 malam bagi hari Sabtu dan Ahad.
Selain itu, kemudahan pengangkutan air turut disediakan iaitu Cruise Tasik Putrajaya dan teksi air yang boleh dinaiki melalui lapan jeti utama di Taman Botani Putrajaya, Kelab Tasik Putrajaya, Cruise Tasik Putrajaya, Zenith Hotel, Monumen Alaf Baru, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Marina Putrajaya dan Anjung Floria.
-- BERNAMA