Floria Diraja Putrajaya 2022 dilanjutkan sehingga Selasa

Bernama
September 2, 2022 17:49 MYT
Floria Diraja Putrajaya 2022 turut mempamerkan Taman Keluarga Malaysia dengan konsep yang diadaptasi melalui tiga nilai iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran. - Gambar fail/ Bernama
PUTRAJAYA: Festival yang mempamerkan pelbagai spesies dan bunga-bungaan serta tanaman hiasan, Floria Diraja Putrajaya 2022 yang sepatutnya berakhir Ahad ini dilanjutkan sehingga Selasa depan (6 Sept) berikutan sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai.
Pengarah Bahagian Perancangan dan Pembangunan Taman, Jabatan Landskap, Perbadanan Putrajaya Haslinda Khalid berkata tambahan dua hari itu akan memberi peluang kepada lebih ramai pengunjung ke festival berkenaan sempena cuti sekolah.
"Sejak Floria Diraja Putrajaya 2022 dibuka kepada orang ramai 29 Ogos lepas, ia mendapat sambutan amat menggalakan. Semasa cuti Rabu lepas, sempena Hari Kebangsaan, festival menerima pengunjung yang tidak putus-putus sejak dari pagi hingga malam.
"Dari cadangan asal 4 Sept, kita sambung dua hari untuk kita galakkan dan jemput seluruh Keluarga Malaysia untuk datang bersama-sama ahli keluarga sempena cuti sekolah," katanya kepada media di sini hari ini, serta menambah pelanjutan itu juga merupakan permintaan daripada Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim.
"Kami sedang mengatur untuk penambahan aktiviti dan program untuk dua hari tersebut dan bunga-bunga di sini pun kalau ada yang kering atau layu, kita akan gantikannya," katanya para peserta, kontraktor dan peniaga turut menyambut baik keputusan melanjutkan tempoh festival itu.
Bertempat di Anjung Floria, Presint 4 di sini, terdapat kira-kira 10,000 pokok orkid dan 400,000 tanaman pelbagai spesies dipamerkan di situ.
Floria Diraja Putrajaya 2022 turut mempamerkan Taman Keluarga Malaysia dengan konsep yang diadaptasi melalui tiga nilai iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.
Antara komponen yang ada di festival itu ialah Taman Keluarga Malaysia, Taman Koboi dan Sukulen, Taman Instagrammable, Hiasan Dinding Orkid dan Terowong Oncidium.
Bayaran masuk RM15 dikenakan untuk dewasa, RM5 masing-masing untuk warga emas dan kanak-kanak tujuh hingga 12 tahun, manakala bagi pelancong asing, dikenakan bayaran sebanyak RM100.
Tiket boleh dibeli secara dalam talian di laman sesawang https://floria.putrajaya.my/.
-- BERNAMA
#Floria Putrajaya #Floria Diraja Putrajaya #dilanjutkan #Selasa
;