FLFAM nafi ladang ternakan ayam ditutup tanda protes
Shuhada Abdul Kadir
Mei 18, 2022 20:36 MYT
Mei 18, 2022 20:36 MYT
MELAKA: Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) menafikan penutupan selama dua hari sebuah ladang ternakan ayam di Melaka, adalah tanda protes kepada kerajaan yang didakwa lambat menyalurkan bayaran subsidi harga ayam sebanyak 60 sen.
Penasihatnya, Datuk Jeffrey Ng sebaliknya berkata, penghentian operasi sesebuah premis sedemikian adalah perkara biasa disebabkan faktor tertentu dan keputusan penutupan itu juga tidak mengganggu rantaian bekalan.
“Kita tidak mahu salahkan sesiapa. Jika pihak syarikat ternakan itu ada isu persendirian dan berehat dua hari untuk selesaikan isu-isu mereka, kita kena beri peluang kepada mereka.
“Kami tidak mahu isu itu dijadikan sebagai isu besar sehingga menyebabkan semua pihak khususnya kerajaan kena turun padang membuat semakan di peringkat rantaian dan persatuan juga tidak pernah membuat galakan atau minta mana-mana ahli membuat protes.
“Kita tidak pernah nampak isu itu (protes) terjadi, tetapi jika ada seorang dua mahu buat apa jua bentuk protes, persatuan tidak boleh halang kerana kami tidak terlibat dan isu berkenaan juga tidak wajar dibesarkan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan sebuah akhbar tempatan yang mendedahkan sekumpulan kartel industri ternakan ayam dikatakan merancang menutup ladang ternakan pada Sabtu dan Ahad ini sebagai protes kepada kerajaan yang dikatakan lambat melakukan bayaran subsidi harga ayam.
Ia susulan satu memo yang dikeluarkan semalam oleh sebuah ladang ternakan di Merlimau, Jasin kepada pembekal memaklumkan bekalan ayam akan dihentikan pada 21 dan 22 Mei ini atas alasan ayam hidup di ladang mengalami pertumbuhan yang lambat dan berat badan tidak mencapai kadar yang sepatutnya.
Menyangkal dakwaan itu, Jeffrey berkata, persatuan tidak pernah menerima aduan mahupun laporan daripada 2,400 ahli di seluruh Semenanjung berhubung perkara berkenaan.
Katanya, hubungan mereka dengan agensi kerajaan dan kementerian juga amat baik dan setiap permasalahan boleh dibangkitkan secara terus.
Jelasnya, dakwaan kononnya penutupan ladang ternakan ayam itu akan menyebabkan pasaran tidak lagi dapat menampung permintaan pengguna juga disifatkan sebagai tidak berasas.
“Selama ini persatuan memang bersefahaman dengan kerajaan dan biasa berhubung terus dengan agensi terlibat termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI),” tambahnya.