FLFAM beri jaminan bekalan ayam dan telur kembali normal
Astro Awani
Januari 21, 2023 15:25 MYT
Januari 21, 2023 15:25 MYT
KUALA LUMPUR: Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) telah memberi jaminan kepada MAFS bahawa pengeluaran bekalan ayam dan telur akan kembali normal dan mencukupi untuk pasaran tempatan bermula bulan ini.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dalam satu kenyataan memaklumkan, komitmen itu dinyatakan selepas pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, Khamis lalu.
Pertemuan tersebut diadakan bagi membincangkan Memorandum FLFAM berkaitan isu-isu yang menjejaskan kemampanan dan daya saing industri unggas khususnya ayam daging dan telur.
Beberapa isu yang dibangkitkan FLFAM juga telah dibincangkan bersama, termasuk harga kawalan dalam tempoh yang panjang, keperluan meningkatkan produktiviti melalui penternakan secara sistem tertutup, isu aliran tunai dalam kalangan penternak dan jangkaan bekalan ayam dan telur serta kos pengeluaran.
"MAFS akan terus komited mengadakan libat urus bersama pemain industri bagi memastikan industri ayam dan telur terus mampan bagi menjamin bekalan makanan sentiasa mencukupi untuk keperluan rakyat.
"FLFAM turut menzahirkan penghargaan mereka kepada kerajaan atas usaha dan sokongan dalam mencari penyelesaian yang seimbang tentang masalah yang dihadapi oleh pengguna dan industri di Malaysia berikutan pelbagai cabaran yang wujud dalam proses rantaian bekalan makanan di seluruh dunia," menurut kenyataan itu.