Flat Sri Johor terbakar: "Api merebak dengan cepat" - saksi

Astro Awani
Disember 19, 2021 00:19 MYT
Pihak bomba dan penyelamat dalam misi memadamkan api di lapan unit Flat Sri Johor yang dijilat api pada malam Ahad. - Sumber foto Bomba KL
KUALA LUMPUR: Kebakaran yang berlaku di Flat Sri Johor di Cheras membuatkan penduduk yang telah 40 tahun tinggal di kawasan tersebut kehilangan tempat tinggal.
Menurut salah seorang penghuni flat tersebut yang dikenali sebagai Tilaga, semangat kejiranan membuatkan mangsa berjaya diselamatkan.
"Ini memang apa yang disebut "kita jaga kita", kerana apabila kebakaran mula berlaku, jiran-jiran datang membantu.
"Penghuni di tingkat empat ada antaranya orang tua dan tidak sihat, jadi jiran-jiran yang datang membantu membawa ke tempat selamat.
"Penduduk juga cuba membantu kebakaran namun tidak berjaya hinggalah pihak bomba datang memadamkan kebakaran," katanya kepada Astro AWANI, di lokasi kejadian pada Ahad.
Tilaga menceritakan kebakaran berlaku lebih kurang pukul 8 malam tadi dan api merebak dengan cepat sebelum berjaya dipadamkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
BACA: Flat Sri Johor, Cheras dijilat api
Kebakaran di Flat Sri Johor di Cheras yang berlaku malam tadi berjaya dikawal oleh pihak bomba dan penyelamat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bantuan sebanyak RM1,000 ringgit kepada setiap mangsa kebakaran.
Manakala Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pula akan menyediakan kediaman baharu kepada mangsa lapan unit yang terbakar itu.
#Flat Sri Johor terbakar #ismail sabri yaakob #Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur #Saksi kebakaran
;