"Fitnah semua tu..." - Guan Eng nafi mahu mansuhkan UiTM
Dewi Nur Harasha Alias
Mac 9, 2018 18:45 MYT
Mac 9, 2018 18:45 MYT
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menafikan menghantar tweet tentang niat Pakatan Harapan untuk menutup Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi menjimat wang rakyat sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Guan Eng berkata, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian malah perkara itu tidak wujud di dalam Manifesto Pakatan Harapan, sebaliknya percaya ia dilakukan pihak tidak bertanggungjawab yang ingin memburukkan namanya.
Katanya, ia adalah fitnah dan pihaknya akan membuat laporan polis terhadap tweet palsu itu untuk meminta tindakan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berharap orang ramai tidak akan mempercayai pembohongan itu.
"Itu fitnah, kononnya saya nak mansuhkan UiTM. Itu tidak benar. Itu fitnah," katanya pada sidang media di pejabatnya di Komtar di sini, pada Jumaat.
Terdahulu, pegawai penerangan Ketua Menteri, Zaidi Ahmad memberitahu tweet berkenaan telah tersebar di media sosial.
Tweet berkenaan tertulis "Antara #ManifestoPH yang kita akan lancarkan adalah langkah penjimatan wang rakyat melalui pemansuhan UITM seluruh negara. Peruntukan itu akan diagihkan sama rata kepada semua University Kerajaan Pakatan Harapan nanti.
#berita palsu
#DAP
#Lim Guan Eng
#Manifesto Pakatan Harapan
#Pakatan Harapan
#pilihan raya umum
#PRU14
#tweet palsu
#Twitter
#UiTM