'Fitnah Rafizi kepada Pemuda UMNO rasa macam 'susu basi'' - Ibdillah

Wan Syamsul Amly
Julai 7, 2015 18:27 MYT
IBDILLAH: 'Fitnah Rafizi kepada Pemuda UMNO rasa macam 'susu basi.'
Dakwaan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dalam isu ketirisan hartanah Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang mengaitkan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun hanya sekadar isu basi dan tidak diendah sesiapa.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Ibdillah Ishak ketika berkata demikian menambah bahawa cubaan Rafizi untuk memburuk-burukkan Khairul Azwan hanya sia-sia selain sudah dinafikan orang nombor dua Pemuda UMNO sendiri.
"Semalam Rafizi melakukan satu kenyataan fitnah ke atas kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
"Rafizi berusaha sedaya upaya untuk mengaitkan Khairul Azwan serta beberapa Exco Pemuda UMNO dalam skandal ketirisan hartanah MARA sebanyak RM63 juta. Fitnah Rafizi kepada Pemuda UMNO rasa macam 'susu basi
"Jika dia (Rafizi) benar-benar mempunyai data dan dimaklumkan oleh penyiasat, mengapa tidak menamakan secara jelas 'sumber-sumber'nya.
"Rafizi sekadar menimbulkan persepsi dengan menggunakan logik bahawa terdapatnya hubungan pimpinan Pemuda UMNO Malaysia dengan pihak yang didakwa mempunyai kaitan dengan proses pembelian hartanah oleh syarikat milik penuh MARA Inc terlibat dalam skandal tersebut.
"Logik apakah ini?" katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
BACA: "Saya tidak tahu jika Pemuda UMNO terlibat pembelian aset di Australia" - Shafie Apdal
Pada Selasa, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, dia tidak tahu menahu sekiranya ada Exco Pemuda UMNO yang terlibat dengan pembelian hartanah di Australia bernilai RM138.6 juta oleh Mara Inc.
Sebelum itu, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin telah menafikan dakwaan Rafizi itu serta menyifatkannya sebagai tidak masuk akal dan tiada bukti yang kukuh.
Khairy juga berkata, sekiranya Rafizi ada bukti, beliau perlu tampil mengemukakan bukti tersebut.
Dalam pada itu, dakwa Ibdillah, Rafizi atas kapasitinya selaku Pengarah Eksekutif National Oversight and Whistleblowers telah mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai "pemegang rekod fitnah yang tiada tandingan."
"Saya lihat kenyataan fitnah yang terbaru dilakukan Rafizi bertujuan untuk melakukan 'character assasination' ke atas Khairul Azwan. Dia hanya memetik sumber-sumber yang diragui kesahihannya.
"Jika inilah logik yang diguna pakai Rafizi, maka jelaslah dia hanya mengamalkan budaya politik bodoh.
Adakah kenyataan yang dibuat Rafizi semalam untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada siri-siri fitnah yang pernah beliau lakukan," ujarnya.
Sebelum ini kata Ibdillah, Rafizi juga pernah membuat fitnah mengenai isu kereta mewah bersempena ASEAN Summit yang ditaja BMW.
"Untuk maksud itu, Rafizi ini adalah seorang yang sifatnya suka menipu.
"Oleh itu, Rafizi wajar menarik balik kenyataan direka-reka beliau itu ataupun berdepan tindakan undang-undang daripada Khairul Azwan.
"Daripada Rafizi terus menerus mengamalkan fitnah ini, adalah lebih baik dia berkhidmat kepada rakyat Pandan yang dahagakan khidmat seorang wakil rakyat di sana," jelasnya.
#Khairul Azwan #MARA #Pemuda UMNO #Rafizi
;