Fitnah PM: Mahkamah Sesyen Ipoh tolak bantahan awal Nizar

Haron Shafie
Jun 11, 2015 11:30 MYT
Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin membuat keputusan itu setelah menolak permohonan peguam pembela supaya Mohamed Nizar (gambar) dilepaskan tanpa dibebaskan daripada tuduhan itu. - Gambar Fail
Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini memutuskan supaya perbicaraan kes mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamed Nizar Jamaluddin menfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diteruskan.
Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin membuat keputusan itu setelah menolak permohonan peguam pembela supaya Mohamed Nizar dilepaskan tanpa dibebaskan daripada tuduhan itu.
Menurut Hakim, adalah tidak perlu di dalam kes-kes fitnah untuk pihak pendakwa memanggil orang yang menjadi mangsa fitnah iaitu perdana menteri, Datuk Seri Najib untuk memberi keterangan.
Nizar dituduh memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan menyatakan di dalam ucapan kepada orang ramai suatu tohmahan dengan mengetahui bahawa tohmahan tersebut akan merosakkan nama baik Datuk Seri Najib.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Taman Desa Pakatan, Ipoh pada 23 April 2012 antara jam 9.00 malam hingga 12.00 tengah malam.
Nizar dituduh mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Semalam peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin yang dibantu peguam Hatim Musa dan Fitri Asmuni telah membuat bantahan dengan memohon supaya Nizar dilepaskan tanpa dibebaskan memandangkan pihak pendakwa tidak memanggil Datuk Seri Najib sebagai mangsa di dalam kes ini.
Menurutnya, kes ini merupakan kes jenayah yang mana mangsa, Datuk Seri Najib mesti datang untuk memberi keterangan bagi pihak pendakwa.
Katanya, sekiranya Najib tidak datang, mengikut prosedur undang-undang jenayah kes ini akan dibuang.
Sementara itu saksi pendakwa, Penolong Penguasa Polis, Mohd Ozir Ismail memberitahu mahkamah dia bersama satu pasukan polis berada di kawasan padang bola sepak Taman Desa Pakatan Simpang Pulai berhubung satu ceramah politik pada 23 April 2013 di antara jam 9.00 malam hingga 11.00 malam.
Katanya, antara penceramah yang hadir ialah Mohamed Nizar Jamaluddin, Ahli Parlimen Gopeng, Lim Boon Chai dan Sasterawan Negara, A. Samad Said.
Menurut Ozir lagi, selain ceramah politik itu turut diadakan satu lagi majlis sembahyang roh oleh penduduk Taman Desa Pakatan berdekatan majlis ceramah politik sehingga menimbulkan sedikit ketegangan oleh penyokong parti dan penduduk di situ.
Pendakwaan yang dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya, Yusaini Amir Abdul Karim bersambung esok.
#Ikmal Shan Mohd Tajuddin #Ipoh #Mahkamah Sesyen #Mohamed Nizar #Najib Razak