Fitnah KPN: Papagomo selesai rakam keterangan, pilih jawab 37 soalan di mahkamah

Umavathi Ramayah
Disember 19, 2024 17:27 MYT
Razarudin (kanan) berkata, rakaman percakapan Papagomo diambil kira-kira satu jam di Balai Polis Setapak bermula pukul 3 petang Khamis.
KUALA LUMPUR: Polis selesai merakam keterangan blogger kontroversi, Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris berhubung sebuah video berdurasi 31 minit lima saat yang didakwa memfitnah serta mengaibkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, baru-baru ini.
Razarudin berkata, rakaman percakapan lelaki itu diambil kira-kira satu jam di Balai Polis Setapak bermula pukul 3 petang Khamis.
Menurutnya, ketika keterangan itu direkodkan, polis mengajukan 37 soalan namun Papagomo atau juga dikenali sebagai Sir Azri itu memilih untuk menjawab kesemua soalan itu di mahkamah.
"Polis mengajukan 37 soalan berkait video berkenaan, namun Papagomo memilih untuk menjawab di mahkamah," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Khamis.
Video itu dimuat naik di akaun YouTube dipercayai milik Papagomo dan kemudian tular di media sosial.
Razarudin memberitahu, siasatan ke atas blogger itu dilakukan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
Lelaki berusia 41 tahun itu juga kata beliau disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
#Razarudin Husain #Papagomo #Sir Azri #rekod keterangan
;