Fitnah Guan Eng: Ahli Parlimen desak jawab, Siti Mastura enggan layan
Ridauddin Daud
November 7, 2023 17:38 MYT
November 7, 2023 17:38 MYT
KUALA LUMPUR: Perbahasan Siti Mastura Muhammad (PN - Kepala Batas) di Dewan Rakyat pada Selasa sedikit panas apabila beberapa Ahli Parlimen dari kerajaan berulang kali cuba mencelah.
Antara yang bangun ialah Syerleena Abdul Rashid (PH - Bukit Bendera), Teresa Kok (PH - Seputeh) dan Wong Shu Qi (PH - Kluang).
Difahamkan, semuanya mahu bertanya mengenai kenyataan Siti Mastura yang mendakwa Lim Guan Eng (PH - Bagan) mempunyai hubungan dengan pemimpin komunis, Chin Peng dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.
"Kepala Batas, Bukit Bendera mohon mencelah," katanya.
Siti Mastura bagaimanapun tidak mengendahkan permohonan tersebut.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kemudian bertanya, sekiranya Siti Mastura mahu memberikan laluan dan beliau terus menggelengkan kepalanya.
"Dia (Siti Mastura) tidak bagi," kata Johari.
"Kami nak bertanyakan mengenai fitnah yang dilemparkan kepada DAP dan saya," kata Teresa Kok.
"Lebih baik Kepala Batas berikan ruang, ini sudah fitnah kepada Ahli Parlimen," kata Shu Qi pula.
“Tidak berani jawab ke Kepala Batas," tambah Shu Qi lagi.
Meskipun diasak beberapa kali sepanjang perbahasannya, Siti Mastura tetap tidak memberikan laluan kepada semua Ahli Parlimen tersebut.
Bahkan, beliau sempat menutup perbahasannya dengan pantun:
"Pergi kedai beli lidi,
“Kelulusan PhD bukan dibeli,
“Kera lompat atas pokok,
“Masuk Dewan jangan provok.”
Tidak puas hati dengan perkara tersebut, Syahredzan Johan (PH - Bangi) meminta agar Siti Mastura tidak berbohong dan fitnah.
"Dekat luar jangan fitnah, baca poster fitnah ulang balik dalam Dewan. Biar kita bawa usul.
“Malulah orang muda bawa politik lama," kata Syahredzan.
"Kepala Batas tidak belajar ke sumber maklumat dari mana, jawablah di sini," celah Shu Qi lagi.
Berusaha untuk meleraikan pertikaman tersebut, Johari bertindak mengarahkan semua Ahli Parlimen untuk meneruskan tindakan provokasi mereka terhadap Siti Mastura.
"Saya bagi peluang siapa nak bercakap bangun, ayuh lagi sebab masyarakat sedang tengok.
"Saya bagi ruang sekarang untuk bercakap, saya tidak akan hentikan," tegas Johari.
Begitupun, tiada siapa lagi yang bangkit dan sidang diteruskan dengan perbahasan Rodziah Ismail (PH-Ampang).
-ENDS-