Fitnah DAP: PDRM sahkan rakam percakapan Siti Mastura

Fareez Azman
November 14, 2023 20:32 MYT
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam satu kenyataan memaklumkan, rakaman percakapan dibuat di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah. - Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah merakam percakapan Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad berhubung ucapannya yang mengandungi kenyataan berbaur fitnah terhadap pucuk pimpinan parti DAP.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam satu kenyataan memaklumkan, rakaman percakapan dibuat di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
"PDRM mengesahkan telah merakam percakapan Yang Berhormat Dr Siti Mastura Mohamad, iaitu Ahli Parlimen Kepala Batas di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan berhubung ucapan yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap pucuk pimpinan dan DAP.
"Siasatan telah dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Undang-Undangan Pendakwaan (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," jelasnya.
Tambah Mohd Shuhaily, PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh menganggu siasatan.
Orang ramai turut diingatkan agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menggunakan kemudahan aplikasi bagi maksud yang menyalahi undang-undang.
Terdahulu, Siti Mastura telah memberi keterangan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berhubung kenyataannya yang mengaitkan pemimpin DAP dengan Chin Peng dan Lee Kuan Yew.
Beliau hadir bersama peguamnya, Ahmad Amzar Ahmad Azlan sekitar jam 11.00 pagi Selasa.
Mastura dalam ucapannya dalam satu majlis di Kemaman, Terengganu mendakwa pemimpin Veteran DAP, Lim Kit Siang sebagai sepupu kepada ketua parti komunis Malaya, Chin Peng.
Beliau turut mendakwa beberapa lagi pemimpin DAP yang dikaitkan mempunyai hubungan kekeluargaan.
#DAP #PDRM #keterangan #Siti Mastura Muhammad
;