Fitnah Clare cemar nama baik Sultanah Terengganu
Sinar Harian
Jun 4, 2024 15:56 MYT
Jun 4, 2024 15:56 MYT
KUALA TERENGGANU: Tindakan pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown memfitnah dalam buku bertajuk, ‘The Sarawak Report-The Inside Story of 1MDB Expose’ telah mencemarkan nama baik Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah dalam skandal terbesar negara ini.
Menerusi alasan penghakiman yang dimuat naik dalam sistem mahkamah pada Selasa, Majistret, Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri berkata, berdasarkan keterangan-keterangan yang dikemukakan oleh saksi-saksi pendakwaan, mahkamah berpuas hati bahawa tohmahan Clare, 65, terhadap Sultanah Terengganu itu berunsur fitnah.
Menurutnya, ia boleh menyebabkan nama baik dan reputasi baginda tercemar kerana fitnah itu telah mengaitkan penglibatan Sultanah Nur Zahirah dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.
Ahli perniagaan kontroversi itu terlibat dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau berkata, tohmahan yang dilemparkan oleh warganegara Britain ini, mewujudkan persepsi tidak baik dan menjejaskan reputasi Sultanah Terengganu.
“Fitnah itu juga mencerminkan sikapnya yang tidak menghormati Institusi Diraja walhal Sultanah Terengganu berkedudukan istimewa dan dipandang tinggi oleh rakyat selaku permaisuri negeri itu.
“Naratif pendakwaan menyatakan, Sultanah Terengganu tidak pernah pada bila-bila masa terlibat secara langsung atau sebaliknya, dalam urusan pentadbiran kerajaan khususnya penubuhan TIA (Terengganu Investment Authority) atau mengenali, atau mempunyai hubungan dengan Jho Low,” katanya.
Beliau berkata, warganegara Britain itu juga tidak menghadiri perbicaraan di negara ini dan ini menggambarkan sikapnya yang tidak menghormati sistem perundangan negara walhal Perlembagaan secara jelas melindungi hak individu.
Disebabkan perbicaraan dijalankan secara `in absentia’ atau tanpa kehadiran tertuduh, beliau berkata, mahkamah tiada pilihan untuk mensabit dan menghukumnya.
Majistret ini berkata, reaksi Clare yang melarikan diri daripada menghadapi pertuduhan setelah berkomunikasi dengan pegawai penyiasat dan hanya mewakilkan peguam bagi menfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, menunjukkan tindak tanduknya dalam kes itu.
Menurutnya, Clare juga berani mengeluarkan kenyataan dalam berita di sebuah portal, menunjukkan dia mempunyai pengetahuan penuh dalam kes tersebut.
Pada 7 Februari lalu, Mahkamah Majistret di sini menjatuhi hukuman penjara selama dua tahun terhadap Clare atas dakwaan memfitnah Sultanah Nur Zahirah.
Clare yang beralamat di United Kingdom (UK), didakwa melakukan perbuatan itu pada 8 pagi, 14 September 2018 di Taman Chendering Utama, di sini, mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
Clare merayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dan Mahkamah Tinggi di sini, menetapkan Khamis untuk pengurusan kes.
Pada 7 Mei lalu, Hakim, Datuk Hassan Abdul Ghani mengarahkan pengarang berkenaan hadir pada pengurusan kes rayuannya pada hari berkenaan.
Clare didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada 23 September 2021 tanpa kehadirannya.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Jun tahun lalu menolak permohonannya untuk memindahkan kes ke sini.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian
#editor Sarawak Report
#Clare Rewcastle-Brown
#memfitnah
#Sultanah Terengganu
#Sultanah Nur Zahirah
#The Inside Story of 1MDB Expose