Fitnah Bukit Kepong: Mahkamah tangguh perbicaraan kes Mat Sabu

Astro Awani
Februari 26, 2015 17:30 MYT
Penangguhan kes Mat Sabu (gambar) dibenarkan atas faktor kepentingan awam di mana kes tersebut mendapat liputan meluas media.
Mahkamah Sesyen Butterworth pada Khamis menetapkan 27 Mac depan untuk menyambung perbicaraan kes Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang didakwa memfitnah anggota keselamatan Bukit Kepong dalam ceramah di Tasek Gelugor pada Ogos 2011.
Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menangguh perbicaraan kes berkenaan kerana saksi terakhir, pakar sejarah Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, tidak dapat hadir untuk memberi keterangan hari ini.
Meor berkata, penangguhan itu dibenarkan atas faktor kepentingan awam di mana kes tersebut mendapat liputan meluas media dan keterangan saksi terakhir itu akan membantu mahkamah dalam membuat keputusan.
Mohamad, yang juga dikenali sebagai Mat Sabu, 60, didakwa memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Muar pada 23 Februari 1950 dengan membuat tohmahan yang boleh merosakkan nama baik mereka.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu dalam ceramahnya di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Al Fahmi, Markas Tarbiyah Pas Padang Menora, Tasek Gelugor pada 21 Ogos 2011.
Tertuduh juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu memfitnah tiga anggota polis iaitu Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Yusoff Rono serta anggota keluarga mereka pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Mat Sabu didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Razali Che Ani memohon mahkamah menangguhkan perbicaraan kes berkenaan berikutan Kay Kim tidak dapat hadir kerana mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan.
Beliau juga memberitahu pihaknya turut mengemukakan sapina kepada Kay Kim untuk hadir ke mahkamah sebagai saksi menerusi e-mel.
Berikutan itu, peguam bela tertuduh, Mohamed Hanipa Maidin memohon mahkamah menolak permohonan itu atas alasan ia adalah kali kedua saksi gagal hadir ke mahkamah.
#Bukit Kepong #kes fitnah #mahkamah #Mat Sabu #Mohamad Sabu #PAS
;