'First Baby' dalam industri rel di Malaysia

Ts Dr Mohd Fahmy Abdullah
Januari 1, 2019 21:08 MYT
Namun, jumlah tenaga kerja sekarang masih jauh ketinggalan untuk memenuhi kehendak pasaran kejuruteraan rel negara.
Berdasarkan perkiraan PEMANDU, dianggarkan seramai 48,700 tenaga kerja di dalam industri rel di Malaysia diperlukan pada tahun 2020 dan angka itu meningkat kepada 77,800 menjelang tahun 2026.
Namun, jumlah tenaga kerja sekarang masih jauh ketinggalan untuk memenuhi kehendak pasaran kejuruteraan rel negara.
Natijahnya, negara sering kali mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar luar untuk projek-projek pembangunan yang berkaitan dengan industri rel.
Alangkah ruginya jika industri rel sedia ada dan kian berkembang ini tidak dapat menghasilkan tenaga kerja yang berdaya saing setanding dengan tenaga kerja luar.
Malah, pihak kerajaan berkemungkinan terpaksa membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk menampung kos tersebut.
Untuk menghasilkan tenaga kerja yang kompetetif bukanlah satu usaha yang mudah dan memerlukan komitmen berterusan dari semua pihak.
Malah tenaga kerja yang dihasilkan perlulah dilatih bermula dari awal lagi. Bak kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Anjakan Paradigma UTHM
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengorak langkah dan menyahut cabaran apabila menjadi universiti pertama dan satu-satunya universiti di Malaysia yang menawarkan program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Rel dengan Kepujian.
Objektif utama program ini adalah untuk melahirkan profesional yang mampan dalam bidang teknologi kejuruteraan rel, yang bukan hanya penuh ilmu di dada malah mahir dalam kerja-kerja ‘hands-on’ dan serba boleh.
Permohonan bagi program ini telah mendapat sambutan luar jangkaan daripada pelajar lepasan Matrikulasi, STPM dan Diploma.
Seramai 37 orang pelajar telah diterima untuk menjalani program ini selama 4 tahun bagi kemasukan pertama September 2018.
Melalui pengajaran dan pembelajaran, mereka akan diberikan latihan secara komprehensif serta menyeluruh selari dengan kehendak industri pada masa akan datang.
Bagi memastikan para pelajar yang dihasilkan mengikut acuan dan kehendak industri, program ini dibangunkan secara sistematik dengan kerjasama dari pelbagai pihak industri rel.
Melalui perlaksanaan ‘3U1I’, para pelajar akan diberikan pendedahan dan latihan khusus selama setahun dengan persekitaran pekerjaan sebenar di dalam industri rel. Malah, penekanan terhadap aspek teknikal menjadi fokus utama sepanjang pembelajaran mereka.
Di samping itu, tenaga pengajar dalam kalangan para pensyarah berkelayakan dan tenaga pengajar industri disediakan untuk memenuhi standard yang ditetapkan. Tenaga pengajar UTHM juga menjalani latihan lanjutan dari masa ke semasa untuk meningkatkan kemahiran bagi memastikan pengajaran kepada para pelajar adalah ‘up-to-date’.
Selain itu, hubungan dengan pihak industri diperkukuh melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTHM dan syarikat-syarikat berkenaan industri rel.
Dengan adanya MoU, pelbagai program dapat dirancang bersama pihak industri. Program-program ini sudah semestinya dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pelajar, sekali gus memberi pendedahan awal agar mereka dapat menjiwai alam pekerjaan industri rel dengan lebih berkesan.
Penanda Aras Tenaga Kerja Rel Masa Hadapan
Hakikatnya, penghasilan tenaga kerja yang berdaya saing melalui program yang ditawarkan merupakan satu petanda aras kepada tenaga kerja industri rel pada masa akan datang.
Kandungan silibus yang sistematik, kepakaran tenaga pengajar dan kerjasama erat dengan pihak industri merupakan kunci kepada kejayaan masa hadapan.
______________________________________________________________________________________
* Dr. Mohd Fahmy Abdullah Penyelidik Utama, Pusat Kecemerlangan Industri Rel (ICOE-REL), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#kerajaan #Melayu #MoU #pelajar #rel #UTHM
;