Firdaus Abdullah aktif dalam memperjuangkan bahasa - Awang Sariyan

Bernama
April 11, 2024 17:00 MYT
Allahyarham merupakan seorang tokoh ilmuwan dan budayawan yang cukup tekal dalam perjuangan membudayakan ilmu dalam kalangan masyarakat Malaysia.
KUALA LUMPUR: Aktif dalam gerakan persatuan mengangkat dan memperjuangkan bahasa, merupakan bukti kesungguhan Allahyarham Datuk Firdaus Abdullah yang begitu mencintai nilai dan keindahan kesusasteraan dan budaya, di negara ini.
Senator Datuk Seri Prof Awang Sariyan berkata antara perjuangannya dalam memartabatkan bahasa, seperti dalam Kumpulan Budi Utama (KUBU) pimpinan Allahyarham Asraf Abdul Wahab, dan kemudiannya Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA).
"Dalam kongres Bahasa dan Persuratan Melayu keempat pada tahun 1984, beliau bersama-sama dengan saya dan Asraf menulis kertas kerja tentang penyatuan bahasa Melayu serantau, manakala dalam pentadbiran beliau pernah dilantik menjadi Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2005 hingga 2008, dan sebelum itu beberapa tahun menjadi anggota Lembaga Pengelola DBP.
"Saya juga ingat beliau pernah menjadi tenaga pengajar Peace Corps kepada pegawai Amerika Syarikat pada tahun 1970-an, rasanya semasa mengikuti program PhD di sana. Selain itu, beliau agak prolifik dalam penulisan sajak," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau yang juga bekas Pengerusi Lembaga Pengelola DBP berkata berita kematian Firdaus diketahui awal pagi tadi, dan memaklumkan Allahyarham di masukkan ke wad Hospital Besar Kuala Lumpur beberapa hari sebelum hujung Ramadan, susulan menerima rawatan kerana kanser darah.
Selain itu, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Tan Sri Mohd Annuar Zaini juga menzahirkan ucapan takziah kepada Allahyarham, dan memaklumkan jenazah akan dikebumikan di Masjid Kampung Baharu selepas waktu Zohor ini.
"Innalillahi wainna illaihi raji'un. Menerima berita pilu kembalinya seorang sahabat merangkap guru saya dalam bidang penulisan ke rahmatullah di Hospital Kuala Lumpur pada pagi ini 2 Syawal 1445 bersamaan 11 April 2024.
"Pertemuan terakhir kami pada 7 Sept 2023 sewaktu beliau datang ke pejabat saya di UDA, untuk menghadiahkan buku Cermin Belakang dan Warkah Kepada Sang Sapurba karya beliau," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan warga Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi Facebook rasminya, turut merakamkan ucapan takziah atas pemergian tokoh bahasa tersebut.
"Innalillahi wainna ilaihi raji'un. Sesungguhnya daripada-Nya kita datang dan kepada-Nya kita kembali.
"Mendapat perkhabaran duka pemergian ke rahmatullah Allahyarham Datuk Dr. Firdaus Abdullah, mantan Ketua Pengarah yang telah kembali ke rahmatullah pada pagi tadi, 11 April 2024 bersamaan 02 Syawal 1445," menurut hantaran itu.
Fadhlina berkata Allahyarham merupakan seorang tokoh ilmuwan dan budayawan yang cukup tekal dalam perjuangan membudayakan ilmu dalam kalangan masyarakat Malaysia, semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
-- BERNAMA
#Awang Sariyan #Firdaus Abdullah #GAPENA #DBP
;