FINAS temui agensi perfileman ASEAN, bincang pembentukan komuniti serantau

Bernama
Oktober 3, 2024 10:40 MYT
Fahmi (dua dari kiri) mengadakan pertemuan bersama Pengerusi Festival Filem Antarabangsa Busan (BIFF) Park Kwang-su dalam Lawatan Kerja ke Korea Selatan pada Rabu. Hadir sama Azmir Saifuddin (tiga dari kiri). - Gambar Bernama
BUSAN: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan mengadakan pertemuan dengan agensi-agensi pembangunan filem dari negara ASEAN esok, bagi membincangkan hasrat untuk membina komuniti perfileman dalam kalangan blok tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutallib berkata, agenda perbincangan itu termasuk merangka program-program berimpak tinggi serta membincangkan polisi dan insentif bagi membantu memperkukuh pasaran filem di negara-negara Asia Tenggara.
"Kami juga ingin meneroka peluang untuk menganjurkan festival filem yang dapat membantu mengembangkan pasaran di rantau ASEAN," katanya kepada Bernama selepas menghadiri pembukaan Festival Filem Antarabangsa Busan ke-29 (BIFF), di sini, malam tadi.
Azmir berkata, perkara itu selari dengan hasrat Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang mahu melihat lebih banyak program strategik dan berimpak dalam industri perfileman dapat diwujudkan, sejajar dengan Kepengerusian ASEAN pada tahun hadapan dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Semalam, Azmir turut bersama-sama dengan Fahmi dalam pertemuan dengan Pengerusi Festival Filem Antarabangsa Busan (BIFF), Park Kwang-su; Pengerusi Majlis Filem Korea (KOFIC), Han Sang-Jun dan Ketua Pegawai Eksekutif Busan Cinema Centre, Kim Jae Hin.
Mereka turut dibawa melawat Busan Cinema Centre, yang juga dikenali sebagai Dureraum, iaitu lokasi rasmi penganjuran BIFF - antara festival filem berprestij di Asia yang yang membuka tirainya semalam hingga 11 Okt ini.
Lawatan kerja Fahmi ke Korea Selatan selama tiga hari berakhir semalam.
Pada Mei lepas, Fahmi berkata, kementeriannya akan memberi tumpuan kepada pengembangan industri filem Malaysia di pasaran Asia Tenggara sebelum melangkah ke peringkat lebih jauh.
Ini kerana industri filem di rantau tersebut mempunyai potensi besar berdasarkan jumlah penduduknya, kata Fahmi. - BERNAMA
#FINAS #agensi perfileman #ASEAN #Azmir Saifuddin Mutallib
;