Finas sambut baik usaha KKMM lancar Prisma
Fauzi Suhaimi
Februari 6, 2021 17:03 MYT
Februari 6, 2021 17:03 MYT
KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menyambut baik usaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menerusi pelancaran Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma).
Finas dalam kenyataan memaklumkan, usaha tersebut memanfaatkan penggiat industri kreatif sekali gus berupaya memacu industri ke persada antarabangsa.
Kata kenyataan itu, Prisma merupakan inisiatif jangka pendek bertujuan memastikan kelangsungan dan kelestarian para penggiat industri kreatif negara dalam mendepani impak pandemik COVID-19.
"Finas menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan atas pelancaran pakej berkenaan.
"Besarlah harapan Finas agar seluruh penggiat industri kreatif dapat menjunjung semangat kebersamaan serta mengetepikan perbezaan pandangan dalam mendepani cabaran dan tekanan ekonomi semasa akibat penularan wabak pandemik COVID-19," katanya di sini, pada Sabtu.
Terdahulu, majlis pelancaran Prisma disempurnakan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah baru-baru ini.
Dalam pada itu, Finas berkata, Prisma dilaksanakan melalui tiga strategi utama iaitu memudah cara pembiayaan penghasilan kandungan kreatif, mengupayakan kapasiti dan kemahiran penggiat industri kreatif serta menyediakan akses pasaran bagi produk kreatif tempatan.
"Pelaksanaan Prisma dijangka memberi manfaat kepada seramai lebih 9,000 penggiat industri kreatif serta berupaya mewujudkan sekurang-kurangnya 40,000 peluang pekerjaan melalui 32 program merangkumi empat kategori iaitu filem, muzik, kandungan kreatif digital serta seni visual, persembahan dan kraf yang melibatkan penyediaan peruntukan sebanyak RM89.2 juta.
"Suntikan dana ini adalah untuk menggerakkan semula ekonomi industri kreatif yang berupaya memanfaatkan semua penggiat industri kreatif tempatan," katanya.
#Saifuddin Abdullah
#FINAS
#pandemik
#ekonomi
#filem
#kerajaan
#COVID-19
#industri kreatif
#drama
#Nyanyian
#muzik
#Seni