Final Piala FA JDT lawan Selangor: Polis pantau provokasi di stadium, media sosial

Bernama
Ogos 24, 2024 16:30 MYT
Rusdi berkata pemantauan media sosial adalah langkah tambahan yang diambil, selain penugasan lebih 2,400 anggota yang akan membuat kawalan di dalam dan luar stadium bagi perlawanan membabitkan pasukan JDT dan Selangor. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memantau penyokong yang cuba menimbulkan provokasi menjelang perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini, termasuk di media sosial.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pemantauan media sosial adalah langkah tambahan yang diambil, selain penugasan lebih 2,400 anggota yang akan membuat kawalan di dalam dan luar stadium bagi perlawanan membabitkan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor.
"Penyokong dan penonton diharap bersabar dan jangan timbulkan provokasi tidak kira di dalam stadium mahu pun di media sosial, kerana kita akan membuat pemantauan.
"Ingatan ini kepada semua penyokong tidak kira penyokong dari Johor, Selangor atau penyokong dari negeri-negeri lain, yang akan menonton perlawanan pada malam ini," katanya kepada pemberita awal pagi tadi.
Rabu lepas, Bernama melaporkan pemeriksaan akan dilakukan terhadap penyokong sebelum dan selepas memasuki stadium, bagi mengelakkan barangan larangan dibawa masuk dan lencongan serta penutupan jalan akan dilakukan di sekitar stadium bagi memastikan kelancaran trafik.
Polis turut menjangkakan seramai 85,000 penyokong akan hadir ke stadium untuk menonton perlawanan malam ini.
-- BERNAMA
#final piala FA #Selangor FC #JDT #tahap keselamatan
;