Final Piala FA: “Jangan cetus provokasi melampau” - Amaran polis kepada penyokong, penonton

Afiezy Azaman
Ogos 21, 2024 12:50 MYT
Menurut Rusdi, Polis Diraja Malaysia akan menempatkan seramai 2,488 pegawai dan anggota selain pemeriksaan dilakukan sebelum pintu masuk dan juga selepas memasuki stadium. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur mempertingkatkan kawalan dan keselamatan di dalam dan luar Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, menjelang perlawanan akhir bola sepak Piala FA antara pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor FC, Sabtu ini.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, pihaknya akan menempatkan seramai 2,488 pegawai dan anggota selain pemeriksaan dilakukan sebelum pintu masuk dan juga selepas memasuki stadium.
"Petugas akan memeriksa badan mahupun beg yang dibawa penonton dan antara barangan dilarang dibawa masuk adalah mercun, bunga api,suar, topi kaledar, laser, objek tajam, senjata, dadah dan minuman keras
"Selain itu, barangan terlarang lain termasuk payung, tongkat, powerbank, botol, aisketul, pemetik api, rokok, e-rokok, dron, pembesar suara, wisel dan gendang," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.
Mengulas lanjut, Rusdi berkata, pihak trafik juga akan ditempatkan untuk mengawal aliran trafik di sekitar stadium bagi mengelakkan kesesakan.
"Sebanyak 4,968 lot parkir disediakan di sekitar stadium namun sekiranya penuh, pihak polis akan membuat beberapa penutupan dan lencongan jalan," ujarnya.
Rusdi turut memberi amaran polis akan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat penyokong dan penonton perlawanan yang melanggar arahan yang telah ditetapkan mengikut peruntukan undang-undang antarabangsa.
"Penyokong dan penonton dinasihatkan menjaga tatasusila dan tidak melakukan sebarang provokasi melampau sehingga mencetuskan kekecohan sewaktu mahhupun selepas perlawanan," tegasnya.
#final piala FA #amaran polis #provokasi melampau #JDT lawan Selangor FC