'Fill and finish' vaksin Sinovac di Malaysia diluluskan

Nailah Huda
April 23, 2021 10:02 MYT
Proses pengilangan daripada produk pukal kepada produk siap itu akan dihasilkan oleh syarikat Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd. - Foto REUTERS
KUALA LUMPUR: Vaksin COVID-19 Sinovac kini dibenarkan dikilangkan secara ‘fill and finish’ di Malaysia, pertama kali dilaksanakan dalam negara.
Kelulusan ini dijangka meningkatkan bekalan vaksin negara yang sebelum ini bergantung kepada produk vaksin siap yang diimport.
Proses pengilangan daripada produk pukal kepada produk siap itu akan dihasilkan oleh syarikat Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd.
Kelulusan tersebut dicapai selepas Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Kali ke-356 bersidang hari ini.
Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pengilangan ‘fill and finish’ vaksin di Malaysia merupakan satu pencapaian terbaharu negara yang selama ini bergantung kepada vaksin yang diimport.
Beliau berharap langkah tersebut dapat memacu pertumbuhan industri farmaseutikal tempatan dalam penghasilan produk-produk tersebut.

Mesyuarat PBKD ke-356 pd hari ini, telah meluluskan pendaftaran bersyarat utk produk vaksin CoronaVac Suspension for Injection COVID-19 Vaccine (Vero Cell), Inactivated yang dihasilkan oleh Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS) menerusi pengilangan secara fill and finish. pic.twitter.com/1zUCyYsM0d

— Noor Hisham Abdullah (@DGHisham) April 23, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"KKM ingin memaklumkan bahawa kelulusan pendaftaran secara bersyarat ini memerlukan syarikat pemegang pendaftaran produk iaitu Pharmaniaga LifeScience mengemukakan data-data tambahan dan terkini produk vaksin tersebut dari semasa ke semasa, bagi memastikan keberkesanan dan keselamatannya sentiasa dikemaskini dan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) vaksin ini kekal positif," jelas Dr Noor Hisham dalam kenyataannya.
Sementara itu, Penasihat Sains kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Profesor Madya Dr Ghows Azzam berkata, menerusi Twitter, kelulusan itu dijangka meningkatkan bekalan vaksin negara selepas Pharmaniaga menganggarkan sebanyak dua juta dos vaksin mampu dihasilkan secara ‘fill and finish’ setiap bulan.

Great news. The fill and finish process of Sinovac vaccine by Pharmaniaga has been approved. According to Pharmaniaga, they can fill and finish up to 2 million doses per month. This will boost our vaccine supply. Malaysia bought 12 million doses of Sinovac vaccine. https://t.co/P4TEKa10yT

— Ghows Azzam (@Ghows) April 23, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Ketika dihubungi Astro AWANI, beliau berkata, kelulusan tersebut membenarkan Pharmaniaga untuk menghasilkan 2.6 juta dos vaksin yang sudah berada di negara.
Pada Januari lalu, kerajaan menandatangani perjanjian untuk membeli sebanyak 12 juta dos vaksin yang dibangunkan syarikat China, Sinovac.
#vaksin #COVID-19 #Sinovac #Coronavac #Dr Noor Hisham Abdullah #China #Ghows Azzam