Filipina lakukan penghantaran bekalan di Ren'ai Jiao dengan pemantauan China

Bernama
Julai 27, 2024 07:45 MYT
Peraturan itu dicapai oleh China dengan Filipina berdasarkan pendirian prinsip tiga perkara China mengenai pengurusan keadaan di Ren'ai Jiao. - Foto X/David de la Paz
BEIJING: Filipina melaksanakan misi penghantaran bekalan keperluan hidup pada pagi Sabtu di Ren'ai Jiao mengikut peraturan sementara yang dipersetujui oleh China dan Filipina, kata jurucakap Kementerian Luar China pada Sabtu, lapor Xinhua.
Jurucakap itu berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Jabatan Luar Negeri Filipina bahawa Filipina telah menjalankan misi penghantaran bekalan pada pagi Sabtu ke kapal perangnya yang sebelum ini terkandas di Ren'ai Jiao.
Jurucakap itu berkata bahawa berdasarkan peraturan sementara yang dicapai oleh China dengan Filipina mengenai pengurusan keadaan di Ren'ai Jiao, pihak Filipina menjalankan misi penghantaran bekalan keperluan hidup itu pada pagi Sabtu dan dipantau sepenuhnya oleh Pegawal Pinggir Pantai China.
China telah dimaklumkan mengenai penghantaran bekalan itu sebelum ia dijalankan, kata jurucakap itu, sambil menambah bahawa setelah mengesahkan di lokasi bahawa kapal Filipina hanya membawa barangan keperluan kemanusiaan, pihak China membenarkan kapal itu meneruskan pelayaran.
Jurucakap itu menekankan bahawa peraturan itu dicapai oleh China dengan Filipina berdasarkan pendirian prinsip tiga perkara China mengenai pengurusan keadaan di Ren'ai Jiao.
"Pendirian China mengenai isu Ren'ai Jiao tidak berubah. China mempunyai kedaulatan ke atas Ren'ai Jiao, selebihnya Nansha Qundao dan perairan bersebelahan mereka," kata jurucakap itu, sambil menambah bahawa China akan terus menangani isu-isu wilayah dan pertikaian hak maritim yang berkaitan dengan Filipina melalui dialog dan perundingan.
-- BERNAMA
#Ren'ai Jiao #bekalan keperluan hidup #terkandas #kapal perang
;