Filipina akan terus kaji kedudukan tuntutan Sabah - Istana Malacanang

Astro Awani
Oktober 20, 2013 19:10 MYT
Filipina tidak akan menghentikan semua usaha mengkaji kedudukan tuntutan republik itu ke atas Sabah hanya semata-mata kerana waris Kesultanan Sulu, Jamalul Kiram III sudah meninggal dunia.
Timbalan jurucakap Istana Malacanang, Abigail Valte berkata, kajian itu masih berjalan dan tuntutan Filipina ke atas Sabah tidak bergantung hanya pada satu orang.
"Soalan itu beranggapan tuntutan tersebut bergantung pada satu orang, tidak," katanya ketika ditanya oleh sebuah stesen radio di Manila tentang apakah langkah kerajaan Filipina semalam Kiram meninggal dunia.
Jamalul, 75 tahun, meninggal awal pagi Ahad selepas kegagalan fungsi beberapa organ dan dijangka akan dikebumikan dalam masa 24 jam di Jolo, Sulu.
Dalam pada itu, balu Allahyarham, Fatima Kiram menyifatkan suaminya tidak mengalah biarpun sampai ke nafas yang terakhir.
"Dia meninggal dunia miskin tetapi dia orang terhormat," katanya seperti dipetik oleh AFP.
Sebelum meninggal dunia, Jamalul meninggalkan wasiat kepada ahli keluarga dan pengikutnya supaya meneruskan usaha mendapatkan semula wilayah Borneo Utara yang hari ini merupakan sebahagian daripada Sabah.
"(Katanya) Kita sudah memulakannya. Mari kita teruskan demi kesejahteraan rakyat. Jangan abaikan mereka," kata Fatima memetik semula wasiat suaminya.
Dia bagaimana menambah itu tidak bermakna pihaknya akan melancarkan serangan baru ke atas Sabah sebaliknya bersedia untuk berunding dengan Malaysia.
Pada akhir Mac lepas, Jabatan Keadilan Filipina dilaporkan sudah menyiapkan satu kertas kajian mengenai tuntutan negara itu ke atas Sabah dan telah menyerahkannya kepada Presiden Benigno Aquino III.
Setiausaha Keadilannya, Leila de Lima bagaimanapun enggan mendedahkan sebarang butiran lanjut mengenai kajian itu yang dibuat atas arahan Aquino.
“Ia satu kajian sulit dan saya perlu dapatkan kebenaran daripada Presiden apakah ia boleh didedahkan kepada umum," kata de Lima seperti dipetik oleh laman web akhbar Philippine Daily Inquirer.
Kertas kajian itu kemudian diserahkan kepada Istana Presiden.
Pada Februari lalu, Kiram dilaporkan telah menghantar sekumpulan pengikutnya ke Kampung Tanduo di Lahad Datu, Sabah bagi merampas Sabah yang diakui miliknya sebagai Sultan Sulu.
Berikutan peristiwa itu, pertempuran berlaku di antara pasukan keselamatan negara dan pasukan pengganas Sulu.
Pertempuran yang berlangsung berbulan-bulan lamanya menyaksikan ramai di antara perwira negara mati ditembak oleh kumpulan pengganas tersebut.
Ramai diantara kumpulan pengganas itu turut terbunuh dalam pertempuran berdarah itu.
Berikutan insiden ini, lapan warga Filipina didakwa di Mahkamah Tinggi Tawau pada 21 Mac 2013.
Adik kepada Jamalul Kiram yang mendakwa dirinya Sultan Sulu, Datu Amirbahar Hushin Kiram kemudiannya didakwa di Mahkamah Majistret pada 19 April 2013 atas pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi ahli kumpulan pengganas.
Selain itu, seorang koperal polis warga tempatan turut didakwa di Mahkamah Majistret berhubung insiden pencerobohan tersebut.
#Jamalul Kiram III #meninggal dunia #Sultan Sulu
;