Filem animasi tempatan perlu tembus pasaran global selaras TN50 - TPM
Bernama
November 1, 2016 07:00 MYT
November 1, 2016 07:00 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sektor animasi kreatif tempatan perlu menembusi pasaran global selaras dengan Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Katanya penggiat sektor animasi perlu keluar daripada zon selesa dan mencabar diri melakukan perkara yang boleh membanggakan diri dan negara.
Beliau berkata industri animasi tempatan semakin mendapat tempat di pasaran luar apabila mencatat pertumbuhan memberangsangkan dengan nilai eksport mencecah RM101 juta tahun lalu, manakala nilai jualan tempatan mencecah RM127 juta.
"Filem animasi tempatan mempunyai potensi yang besar, ini terbukti apabila filem Upin dan Ipin telah berjaya disiarkan di Disney Channel.
"Kita harapkan menjelang 2050, sektor animasi tempatan boleh diterima dan diiktiraf masyarakat antarabangsa," katanya ketika berucap merasmikan filem animasi terbaharu 'Upin dan Ipin: Jeng, Jeng, Jeng', di sini, pada Selasa.
Filem animasi hasil usahasama antara Les' Copaque Production dan KRU Studios itu akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 24 Nov ini.
Dalam pembentangan Bajet 2017 baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan akan melancarkan siri wacana nasional dikenali sebagai Transformasi Nasional 2050, yang merupakan program tiga dekad bagi membentuk satu negara bangsa yang benar-benar berwibawa serta berminda cemerlang.
Ahmad Zahid berkata filem animasi tempatan juga perlu memaparkan mesej yang positif supaya ia dapat memberi pengajaran dan contoh yang baik kepada penonton.
"Bukan hanya dari segi mesej, pembikin filem animasi juga perlu mencari jalan supaya menarik minat semua golongan masyarakat dan bukan hanya kanak-kanak," katanya. -- Bernama