Fikirkan impak positif undi 18 tahun - Syed Saddiq
Madiha Abdullah
Julai 11, 2019 19:50 MYT
Julai 11, 2019 19:50 MYT
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tidak merasakan isu kematangan sebagai isu utama dalam merealisasikan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun.
Sebaliknya, beliau meminta masyarakat menumpukan kepada impak yang bakal dinikmati apabila lebih ramai anak muda diberikan hak untuk mengundi.
"Kalau sebelum ini isu anak muda mudah dipandang remeh, mungkin dalam top 10 atau top 20 dalam senarai, tetapi dengan penambahan pengundi muda berskala besar, isu-isu anak muda akan dinaik taraf menjadi isu nasional.
"Ia bermaksud bahawa suara anak muda jadi lebih kuat dan perlu diambil lebih serius. Dari sudut politik, parti-parti politik perlu melantik lebih ramai wakil dalam kalangan anak muda, dan mengetengahkan dasar-dasar yang mengambil kira pandangan anak muda," katanya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq melihat pelaksanaan undi pada usia 18 tahun memerlukan usaha yang menyeluruh dan kerjasama daripada semua pihak, tanpa mengira parti politik.
"Pelaksanaan perlu diperincikan bersama. Pimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan mereka dapat lakukan dalam tempoh terdekat, mungkin dalam satu atau dua tahun.
"Apa yang dipersetujui semua parti adalah untuk memastikan bahawa tempoh pelaksanaan undi 18 tahun dan automatic voter registration dibuat bersama, untuk memastikan pelaksanaan yang lebih lancar.
"Saya difahamkan kos satu pilihan raya adalah setengah bilion, dan selepas ini dilaksanakan, memang kosnya meningkat.
"Adakah berbaloi untuk membayar harga lebih mahal untuk sistem demokrasi yang lebih inklusif? Saya rasa berbaloi, untuk memperkasakan lebih empat juta anak muda, " tambahnya.
Syed Saddiq berkata demikian dalam forum Wacana Sinar anjuran Karangkraf bertajuk 'Mengundi 18 tahun: Siapa Yang Untung', pada Khamis.
#automatic voter registration
#Mengundi 18 tahun
#Menteri Belia dan Sukan
#pilihan raya
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
#undi 18 tahun
#Wacana Sinar