Fikir kesan pembangunan Kampung Baru - MAS
Siti Hajar Jamaludin
Jun 4, 2019 07:44 MYT
Jun 4, 2019 07:44 MYT
Penduduk Kampung Baru harus memikirkan kesan baik atau sebaliknya berhubung isu pembangunan kawasan itu sebagai penempatan moden dan bersepadu masyarakat Melayu di tengah bandaraya Kuala Lumpur.
Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS), Shamsuri Suradi berkata, kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad memerlukan perincian yang teliti dan terancang.
"Jumlah RM10 billion tidak diperincikan oleh pihak-pihak tertentu tetapi kalau diperincikan seperti adanya dua konsep A dan B, A untuk penduduk yang cenderung mengambil duit manakala B penduduk yang mahukan harta, perincian begini akan lebih jelas.
"Ini kerana bukan semua penduduk datang daripada golongan yang berada. Ada yang betul-betul perlukan rumah, ada yang betul-betul perlukan duit.
"Dengan masalah sekarang ini kita harus lihat dari segi positif dan negatif berkaitan RM10 bilion itu, jika fikir pasal jumlah wang sahaja ianya tidak akan cukup," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Sebelum ini, Khalid menjelaskan dana sehingga RM10 bilion diperlukan untuk membolehkan Kementerian membangunkan Kampung Baru secara menyeluruh dan bukan secara berkelompok atau ‘runcit’ oleh pemilik tanah bersama pemaju.
Dalam pada itu jelas Shamsuri, ketiadaan perincian dari pihak berkuasa menyebabkan penduduk dan pemilik tanah di lokasi itu gusar dan memerlukan maklumat tambahan berkenaan isu berkenaan.
Sebelum ini Khalid dilaporkan berkata, terdapat 2,388 pemilik tanah di Kampong Bharu ketika ini dan usaha membeli tanah daripada pemilik pernah dilakukan kerajaan sebelum ini dengan menubuhkan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) tetapi sehingga kini masih buntu.
Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Kampung Baru, Syed Badli Shah Syed Osman sebelum ini menjelaskan setiap rundingan berhubung cadangan pembangunan di lokasi itu tidak boleh dilakukan dengan badan-badan yang mengaku mewakili para pemilik tanah.
Tegasnya, kerajaan perlu membuat rundingan terus dengan pemilik tanah agar dapat mengenal pasti hasrat sebenar mereka.
#Dana pembangunan
#Kampong Bharu
#kerajaan
#Khalid Abdul Samad
#Kuala Lumpur
#Melayu
#Menteri Wilayah Persekutuan
#Penduduk
#penempatan moden
#Perbadanan Pembangunan Kampung Baru
#Setiausaha Kehormat MAS
#shamsuri suradi