Fikir barisan hadapan sebelum sebar maklumat palsu
Astro Awani
Mei 29, 2021 04:26 MYT
Mei 29, 2021 04:26 MYT
KUALA LUMPUR: Penyebaran maklumat palsu mengenai vaksin COVID-19 menjadi perkara yang turut membimbangkan di samping penularan virus terutama dalam keadaan kes meningkat dengan mendadak kebelakangan ini.
Pakar sains sosial, Prof Datuk Mohammad Shatar Sabran, berkata kini bukan sahaja golongan antivaksin yang menyebarkan dakwaan kononnya pengambilan vaksin COVID-19 berisiko tinggi, malah ramai netizen turut berebut-rebut menjadi 'wartawan tidak bertauliah'.
Beliau berkata, dalam keadaan pandemik COVID-19 yang semakin membimbangkan, masyarakat di negara ini diminta tidak menambah kekeliruan dengan menjadi ejen penyebar maklumat atau berita palsu.
"Jangan kerana hendak nampak hebat atau menjadi sumber maklumat dalam kumpulan WhatsApp atau apa sahaja medium media sosial, kita sanggup menyebarkan maklumat yang belum tentu kesahihannya.
"Dalam hal berkaitan vaksin COVID-19 ini, seelok-eloknya dirujuk terus kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau mendapatkannya menerusi platform rasmi kementerian berkenaan," katanya.
Beliau mengulas mengenai penularan banyak maklumat palsu mengenai vaksin COVID-19 di media sosial sehingga menimbulkan kekeliruan malah menyebabkan ada segelintir rakyat yang takut untuk menerima vaksin.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia berkata, perkara itu menjadi antara faktor ketidakhadiran masyarakat di pusat pemberian vaksin (PPV) walaupun sudah berdaftar.
Katanya, sebelum menyebarkan maklumat yang belum tentu kesahihannya, masyarakat perlu memikirkan tekanan yang dihadapi petugas barisan hadapan termasuk kakitangan perubatan disebabkan bilangan kes yang terlalu tinggi.