FIFA umum hadiah terbesar dalam sejarah Piala Dunia Kelab
Bernama
Mac 6, 2025 12:10 MYT
Mac 6, 2025 12:10 MYT
Gianni Infantino (kiri) dan Naib Presiden FIFA Vittorio Montagliani bergambar dengan trofi Piala Dunia FIFA di New York, 16 Jun 2022. - Gambar fail/AP
LONDON: Badan induk bola sepak dunia, FIFA, mengumumkan perincian hadiah terbesar dalam sejarah kejohanan kelab bagi edisi baharu Piala Dunia Kelab FIFA yang akan menampilkan 32 pasukan buat kali pertama.
Sebanyak US$1 bilion diperuntukkan kepada pasukan bertanding, manakala tambahan US$100 juta disediakan sebagai pembayaran solidariti kepada kelab yang tidak layak.
"Piala Dunia Kelab FIFA bukan sahaja menjadi kemuncak bola sepak peringkat kelab, tetapi juga lambang solidariti yang akan memberi manfaat kepada kelab secara menyeluruh dalam skala yang belum pernah berlaku sebelum ini.
"Semua hasil daripada kejohanan ini akan diagihkan kepada kelab yang bertanding dan melalui solidariti kelab di seluruh dunia kerana FIFA tidak akan menyimpan walau satu dolar.
"Dana simpanan FIFA bagi pembangunan bola sepak global juga tidak akan disentuh," kata Presiden FIFA, Gianni Infantino.
Edisi baharu Piala Dunia Kelab FIFA bakal berlangsung di Amerika Syarikat dari 14 Jun hingga 13 Julai, dengan kehadiran gergasi Eropah seperti Real Madrid, Bayern Munich, Paris Saint-Germain, Inter Milan, Juventus, Manchester City, Chelsea dan Atletico Madrid.
Walaupun jumlah hadiah bagi setiap kelab belum diumumkan, kejohanan ini dijangka menawarkan pulangan lumayan kepada pasukan yang bertanding.
Dana itu dijamin selepas FIFA memeterai perjanjian hak penyiaran dengan platform penstriman DAZN tahun lalu.
Bagaimanapun, sambutan terhadap kejohanan ini di Eropah dilihat kurang meriah kerana ia dianggap tidak setanding kehangatan saingan Liga Juara-Juara UEFA.
-- BERNAMA