'Field ICU' di HKB: Kerajaan Pulau Pinang sedia kerjasama dengan KKM

Dewi Nur Harasha Alias
Mei 17, 2021 10:48 MYT
Kerajaan Pulau Pinang memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh kepada KKM yang mahu mewujudkan Field ICU di Hospital Kepala Batas bagi merawat pesakit kritikal di negeri itu. - Astro AWANI
KEPALA BATAS: Kerajaan Pulau Pinang memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mahu mewujudkan Unit Rawatan Rapi Lapangan (Field ICU) di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang bagi merawat pesakit kritikal di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, pihaknya maklum mengenai penggunaan katil ICU COVID-19 yang kini mencecah lebih daripada 100 peratus.
Justeru, beliau menyerahkan kepada pihak bertanggungjawab untuk tindakan selanjutnya.
Dalam masa sama, Jagdeep berkata, kerajaan negeri juga bersedia untuk menerima baki bekalan vaksin COVID-19.
Jelasnya, setakat ini 200 klinik sedia memberikan perkhidmatan percuma bagi pemberian vaksin untuk membantu mengawal penularan wabak COVID-19.
Jagdeep berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengenai keperluan mendesak bagi 'Field ICU' di Hospital Kepala Batas
Terdahulu, Dr Noor Hisham Abdullah pada Ahad berpandangan terdapat keperluan mendesak untuk mewujudkan 'Field ICU' yang dikhaskan bagi merawat pesakit kritikal di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang.
Ia berikutan faktor peningkatan kadar penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) COVID-19 di hospital-hospital Pulau Pinang yang telah mencecah lebih daripada 100 peratus.
Field ICU' yang bakal didirikan di Hospital Kepala Batas akan menggunakan konsep modular yang mampu merawat sehingga 27 pesakit kritikal COVID-19 yang memerlukan bantuan pernafasan serta peralatan 'life support' lain.
Selain itu, Angkatan Tentera Malaysia juga akan mendirikan makmal modular dan unit radiologi modular bagi memberikan kemudahan perkhidmatan sokongan klinikal kepada pesakit-pesakit kritikal yang ditempatkan di 'Field ICU' itu.
#field ICU #Unit Rawatan Rapi Lapangan #Hospital Kepala Batas #pulau pinang #pesakit kritikal #COVID-19 #Jagdeep Singh Deo