FIC: Dua individu ditahan bantu siasatan pembelian hotel di London
Hilal Azmi
Ogos 3, 2017 20:30 MYT
Ogos 3, 2017 20:30 MYT
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan dua individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pembelian sebuah hotel mewah di Kensington, London oleh Felda Investment Corporation (FIC).
Suspek yang ditahan adalah seorang peguam dan pembantu wanita yang disyaki terlibat menguruskan proses dokumentasi perjanjian jualbeli di antara pemilik asal dan syarikat ketiga sebelum ia dijual kepada FIC.
Suspek pertama adalah seorang peguam berusia 44 tahun yang beroperasi di Kuala Lumpur manakala suspek wanita berusia 29 tahun adalah pembantu perundangan firma undang-undang itu.
Kedua-dua mereka ditahan sekitar jam 4 petang di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Sumber berkata, peguam tersebut juga mempunyai kaitan dengan pemilik syarikat yang membuat urusan jualbeli hotel dengan FIC.
Manakala suspek wanita pula dipercayai turut memainkan peranan penting dan terlibat dalam menandatangani perjanjian jual beli itu.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu akan ditahan selepas ini berkaitan kes tersebut.
Kedua-dua suspek ini akan dibawa untuk mendapatkan perintah reman di mahkamah Putrajaya esok bagi membantu siasatan.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, pihaknya sudah melengkapkan 60 peratus kertas siasatan berhubung pembelian dua hotel di Kensington, London dan di Kuching, Sarawak oleh FIC.
Siasatan terhadap kedua-dua kes itu dijangka selesai tidak lama lagi, katanya ketika menjadi tetamu Soal Jawab terbitan Media Prima TV Networks malam tadi.
Beliau berkata siasatan berhubung pembelian sebuah hotel di London di antara 2013 dan 2015 oleh FIC memerlukan sedikit masa kerana ia melibatkan transaksi di luar negara.
Pada Jumaat lepas, Dzulkifli mengarahkan kertas siasatan dibuka untuk menyiasat pembelian hotel di Kuching, yang disyaki dibeli dengan harga yang lebih tinggi daripada pasaran.
Setakat ini, lima individu telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung pembelian hotel berkenaan pada tahun 2014.
SPRM memulakan siasatan pembelian hotel di Kuching itu susulan maklumat yang diterima oleh pasukan penyiasat ketika menjalankan siasatan terhadap pembelian hotel di London oleh FIC sebelum ini.
#Felda
#Felda Investment Corporation
#FIC
#hotel
#mahkamah
#peguam
#perjanjian jualbeli
#Rasuah
#siasatan
#Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
#suspek