FGV: Zakaria Arshad serahkan jawapan surat tunjuk sebab
Hafiz Marzukhi
Jun 29, 2017 14:44 MYT
Jun 29, 2017 14:44 MYT
Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures (FGV) Datuk Zakaria Arshad telah menyerahkan jawapan surat tunjuk sebab kepada syarikat tersebut pada pagi ini.
Walau bagaimanapun, beliau tidak hadir bagi penyerahan tersebut tetapi mewakilkan adiknya, Maulud Arshad.
Surat tersebut telah diserahkan kepada Setiausaha Syarikat FGV, Koo Shuang Yen.
Pada 6 Jun lalu, Lembaga Pengarah FGV mengarahkan Zakaria, Ketua Pegawai Kewangan Ahmad Tifli Mohd Talha; Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil products, Kamarzaman Abd Karim, supaya bercuti bagi membolehkan siasatan dalaman dilaksanakan secara terperinci.
Siasatan tersebut dibuat berhubung dakwaan salah laku dalam urus niaga membabitkan syarikat Safitex Trading LLC kepada anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd.