FGV terima dua anugerah berkaitan sumber manusia
Bernama
September 20, 2015 13:10 MYT
September 20, 2015 13:10 MYT
Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) menerima dua perakuan pada Anugerah Kecemerlangan HR 2015 dalam kategori Kecemerlangan Strategi Pengambilan & Pengekalan Pekerja serta Kecemerlangan dalam Pelan Strategik Sumber Manusia (HR).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah berkata FGV komited terhadap kecemerlangan dalam HR dan memperakui pentingnya pengurusan bakat dalam menjayakan visi untuk menjadi antara 10 penggiat utama dalam perniagaan berkaitan pertanian di dunia.
“FGV mempunyai lebih 55,000 tenaga pekerja di Malaysia dan di luar negara, termasuk pekerja asing yang bertugas di ladang-ladang kami. Ramai pekerja memiliki tahap kemahiran yang pelbagai di kawasan bandar dan luar bandar, yang menjadi lokasi operasi perniagaan kami.
“Bagi membangunkan syarikat yang kukuh, kami perlu memastikan sumber manusia kami diurus dengan baik. Pengurusan sumber manusia kami perlu sentiasa mengetahui trend terkini serta isu-isu membabitkan pekeja," katanya dan menambah ini termasuk pembangunan kerjaya serta kebajikan pekerja.
Dihoskan Human Resources, sumber berita berkaitan HR utama Asia, dan dinilai oleh panel pengarah-pengarah HR di seluruh Asia, anugerah itu ditaja oleh Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) dan Talent Corporation Malaysia.
Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan FGV Mohd Najid Md. Yahya menerima anugerah itu bagi pihak kumpulan pada majlis yang berlangsung di sini pada Khamis.