FGV tegaskan tidak terlibat konspirasi dalam proses siasatan dalaman Zakaria
Bernama
Julai 22, 2017 20:10 MYT
Julai 22, 2017 20:10 MYT
Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) menegaskan bahawa ia tidak terlibat dalam mana-mana konspirasi atau agenda peribadi dalam menjalankan proses siasatan dalaman ke atas Datuk Zakaria Arshad dan tiga lagi kakitangan pengurusan kanan.
Dalam kenyataan hari ini, FGV berkata, siasatan ini dianggap tanggungjawab fidusiari Lembaga Pengarah dalam menjalankan tanggungjawab prihatin dalam pengurusan sebuah syarikat penyenaraian awam dan kepentingan pemegang saham.
"FGV, yang komited kepada amalan tadbir urus korporat yang baik, akan memastikan siasatan dalaman dijalankan secara adil dan saksama. Siasatan dalaman akan menumpukan kepada isu hutang Safitex," katanya.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri pada 19 Jun, FGV berkata terdapat beberapa bukti asas yang membolehkan Lembaga Pengarah FGV mengambil tindakan disiplin terhadap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ketua Pegawai Kewangan dan dua lagi pegawai kanan yang berkaitan dengan pelanggaran prosedur dalaman.
"Tuduhan yang menyatakan bahawa Lembaga Pengarah mempunyai agenda peribadi untuk menjatuhkan pengurusan kanan adalah tidak wajar.
"Jika tuduhan ini berterusan, ia dikhuatiri boleh menyebabkan fokus FGV tergendala daripada usahanya untuk menambah baik operasi teras, menjana nilai tambah dan melaksanakan tanggungjawab fidusiari Lembaga Pengarah kepada pemegang saham," katanya.
Kumpulan itu berkata, setakat ini, keputusan yang telah diambil adalah membolehkan Zakaria dan tiga lagi kakitangan pengurusan kanan untuk bercuti dengan bergaji penuh dan menerima semua kemudahan.
-- BERNAMA