FGV sedia serahkan kembali tanah Felda, nafi punca kerugian
Najib Aroff
Oktober 20, 2020 15:09 MYT
Oktober 20, 2020 15:09 MYT
KUALA LUMPUR: FGV Holdings menegaskan, tiada masalah untuk menamatkan Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) bersama Felda.
Bagaimanapun, firma itu berkata, setakat ini Felda belum berhubung untuk berunding mengenai perkara itu.
"Di bawah terma perjanjian itu, pembatalan LLA adalah dibenarkan. Jika Felda menerbitkan notis tentang perkara ini, FGV akan meneruskan prosedur seperti termaktub di dalam LLA," kata FGV dalam kenyataan pada Selasa.
FGV berkata, aset yang terlibat di dalam LLA adalah ladang dan tidak melibatkan kilang pemprosesan minyak sawit milik FGV.
"Justeru jika Felda ingin membeli kilang pemprosesan minyak sawit FGV, ia perlu berasaskan kepada prinsip kesediaan dua pihak dan mengikut nilai pasaran semasa.
"Ia juga memerlukan persetujuan pemegang saham lain melalui Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM)," kata FGV lagi.
Dalam satu temubual bersama media tempatan pada 18 Oktober lepas, Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh memaklumkan, Felda berhasrat mengambil semula sejumlah 350,000 hektar tanah yang dipajak kepada FGV bagi mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat.
Idris menegaskan, langkah itu adalah sebahagian daripada pelan transformasi Felda bagi mewujudkan model perniagaan yang berdaya saing dan mampan.
Dalam temubual berkenaan, Idris turut menyatakan pendapatan operasi perladangan Felda jatuh sejak FGV disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2012.
Sehubungan itu, FGV dalam kenyataan sama menjelaskan, kelemahan kewangan itu adalah disebabkan penurunan harga minyak mentah sawit (CPO) selain proses tanaman semula ladang.
"Selepas FGV disenaraikan, bayaran kepada Felda tidak memenuhi unjuran yang ditetapkan disebabkan penurunan harga CPO.
"Hasil tandan sawit segar (FFB) jauh lebih rendah daripada jangkaan memandangkan 50 peratus pokok yang ada sudah tua (lebih 21 tahun).
"Tambahan pula 15,000 hektar tanah setahun diperuntukan untuk proses tanaman semula sekali gus menurunkan lagi pendapatan.
"Perbelanjaan tanaman semula juga mencecah RM300 juta setahun selain kos baja dan pemulihan bernilai RM300 juta setahun," kata FGV.
FGV turut menegaskan Felda menerima RM5.7 bilion hasil penyenaraian entiti itu pada 2012.
"FGV tidak boleh memberi ulasan bagaimana Felda menggunakan hasil IPO ini. Namun bagi FGV, hasil penyenaraian ini telah tidak dilaburkan dengan baik.
"Sehingga akhir 2018, FGV mengalami kemorosotan besar bernilai RM780 juta dari pelaburan-pelaburan baharu," kata FGV
FGV turut menyangkal kenyataan bahawa Felda sepatutnya menerima RM800 juta setahun di bawah LLA tersebut.
"Di dalam perjanjian itu dijelaskan jumlah boleh bayar kepada Felda mencecah RM248 juta setahun ditambah 15 peratus keuntungan operasi dari tanah LLA.
"Setakat ini FGV memenuhi tanggungjawan memberikan RM248 juta setahun mengikut LLA. FGV sudah membayar lebih RM2.5 bilion kepada Felda dari 2012 hingga 2019," kata firma itu lagi.
#FGV Holdings
#Felda
#Perjanjian Pajakan Tanah
#minyak sawit
#minyak mentah sawit
#Bursa Malaysia
#IPO