FGV sasar 5,000 jemaah umrah tahun ini

Bernama
Ogos 18, 2017 22:00 MYT
Pakej 12 hari bermula 27 Nov itu meliputi tiket penerbangan, visa, penginapan hotel bertaraf lima bintang serta makan minum berharga RM7,990 hingga RM9,590. - Gambar hiasan
Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) menyasarkan 5,000 jemaah akan menggunakan pakej umrah yang ditawarkan menerusi anak syarikatnya Felda Travel Sdn Bhd tahun ini.
Pegawai Bertanggungjawab FGV Datuk Khairil Anuar Aziz percaya sasaran itu mampu dicapai menerusi pakej umrah terbaharu mereka iaitu 'Ibrah Menyingkap Hikmah' yang dijalankan bersama anak syarikat Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor iaitu KUISCELL Sdn Bhd (KUISCELL).
"Ketika ini kita sudah mencapai lebih daripada 2,500 jemaah umrah menerusi tiga pakej sedia ada iaitu Nuhasi, Fiddi dan Zahaby yang bermula sejak Januari dan akan turut berlepas pada November dan Disember ini.
"Jadi kita percaya dengan pakej terbaharu yang menampilkan pendakwah terkenal dan ikon KUISCELL, Ustaz Don Daniyal Don Bijayid dan Ustaz Nushi Mahfodz selaku pembimbing, akan meningkatkan lagi jumlah jemaah yang akan menggunakan pakej umrah kami," katanya pada sidang media di Menara Felda hari ini.
Khairil Anuar berkata jemaah yang menyertai pakej baharu itu berpeluang menyambut Maulidur Rasul di tanah kelahiran Nabi Muhammad SAW iaitu Makkah dengan diiringi perkongsian ilmu oleh ikon KUISCELL.
Pakej 12 hari bermula 27 Nov itu meliputi tiket penerbangan, visa, penginapan hotel bertaraf lima bintang serta makan minum berharga RM7,990 hingga RM9,590.
-- BERNAMA
#felda travel #FGV #ibrah menyingkap hikmah #jemaah umrah #khairil anuar aziz #kuiscell
;