FGV, NFDP kerjasama anjur Bright Cow Junior Cup 2024
Astro Awani
November 12, 2024 14:03 MYT
November 12, 2024 14:03 MYT
NILAI: FGV Holdings Berhad (FGV) dengan kerjasama Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) menganjurkan Bright Cow Junior Cup 2024 dan NFDP Carnival 2024 yang menyaksikan perlawanan sengit antara 48 kelab bola sepak remaja terbaik dari seluruh Semenanjung Malaysia pada Sabtu.
Pegawai Bertanggungjawab untuk Bahagian Produk Pengguna FGV, Shammim Azad Kamruzaman memberitahu, kejohanan ini bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup aktif serta pemakanan seimbang bagi pertumbuhan sihat di kalangan belia Malaysia.
Tambahnya, acara ini turut menjadi platform berkesan bagi mengenal pasti bakat sukan tempatan, terutamanya dalam acara bola sepak.
"Alhamdulillah dengan kerjasama yang kita lakukan bersama NFDP, kita dapat mencungkil bakat-bakat yang terpendam di kalangan kanak-kanak dan juga kelab-kelab bola sepak cilik yang mana merupakan salah satu tujuan iaitu kita identify bakat-bakat yang terpendam untuk dibawa ke peringkat seterusnya," katanya.
Shammim berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI di Majlis Perasmian Bright Bright Cow Junior Cup 2024 di Nilai pada Sabtu.
Dalam pada itu, FGV melalui Bright Cow berbesar hati menyokong hasrat Kerajaan membangunkan bakat sukan muda dengan menekankan kepentingan pemakanan berkhasiat bagi menyokong potensi penuh atlet-atlet cilik.
"Dengan apa yang kami lakukan ini, pihak FGV dan pihak NFDP kita dapat melahirkan bakat bakat muda di masa depan bukan saja di peringkat kebangsaan tetapi ke peringkat antarabangsa. Insya-Allah," katanya.
Mengulas lanjut, Shammim memaklumkan visi FGV dan Bright Cow seiring dengan tujuan berusaha menyumbang kepada pembangunan sukan negara dengan menyediakan pemakanan yang menyokong generasi juara yang akan datang.
Sementara itu, Akademi Bolasepak Wira Muda dari Pulau Pinang muncul johan bagi kategori U12; NR Junior U10 A dari Kemaman, Terengganu (kategori U10) dan Kenari United U8 dari Kulim, Kedah (kategori U8).