FGV nafi tuduhan pencabulan hak asasi manusia oleh WSJ

Bernama
Julai 27, 2015 07:50 MYT
Pekerja perlu memenuhi minimum 26 hari bekerja seperti yang digariskan oleh peraturan bagi menerima gaji minimum. -Gambar Fail
Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) menafikan laporan The Wall Street Journal (WSJ) dan laporan-laporan media berikutnya yang memetik akhbar itu berkaitan dengan dakwaan pencabulan hak asasi manusia di ladangnya.
Konglomerat perladangan itu dalam satu kenyataan berkata ia menyediakan jawapan yang lengkap kepada WSJ, yang mana media itu memilih menggunakan hanya sebahagian kecil daripadanya bagi artikel mereka.
"Justeru itu kami ingin memberikan jawapan secara mutlak terhadap tuduhan itu.
"Ketika ini, FGV menggaji kira-kira 33,720 pekerja asing (kira-kira 85 peratus daripada tenaga kerja kami) secara sah dan mematuhi sepenuhnya syarat-syarat peraturan," kata syarikat itu.
Mengenai kebimbangan gaji minimum, FGV berkata dasar buruhnya berpandukan kepada Persatuan Pengeluar Pertanian Malaysia yang menyediakan standard industri bagi gaji minimum dan dikawal selia oleh Kementerian Sumber Manusia.
Bagaimanapun, pekerja perlu memenuhi minimum 26 hari bekerja seperti yang digariskan oleh peraturan bagi menerima gaji minimum.
"Selain daripada itu, semua pekerja asing diberikan hak dan keistimewaan yang sama seperti rakyat Malaysia, dengan dasar buruh standard kami yang berasaskan kepada peraturan buruh Malaysia, serta Deklarasi Organisasi Buruh Antarabangsa bagi Prinsip Asas dan Hak di Tempat Kerja," kata syarikat itu.
Semua perkara berkaitan dengan penggajian Pekerja Asing diuruskan oleh Jabatan Tenaga Kerja FGV di bawah Kluster Huluan Sawit.
"Kami menyatakan tanpa ragu-ragu komitmen kami kepada operasi yang telus dan beretika bagi memastikan nilai jangka panjang yang saksama kepada semua pemegang kepentingan kami: termasuk pekerja, pekebun kecil dan pekerja ladang, yang tanpa mereka kami tidak akan dapat beroperasi setiap hari," kata syarikat itu.
#Felda Global Ventures Holdings Bhd #hak asasi manusia #Kementerian Sumber Manusia #The Wall Street Journal
;