FGV lancar Rangka Kerja Kelestarian, raih manfaat jangka panjang
Amzar Alif
Julai 15, 2024 19:22 MYT
Julai 15, 2024 19:22 MYT
SERDANG: FGV Holdings Bhd (FGV) melancarkan Rangka Kerja Kelestarian terbaharu yang diperkasa, sekali gus mengorak langkah ke arah komitmen berterusan FGV terhadap agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Rangka kerja yang dilancarkan tersebut berdasarkan komitmen kelestarian FGV sedia ada dan meliputi lima teras iaitu Pertumbuhan Ekonomi, Tadbir Urus, Sosial, Alam Sekitar dan Inovasi dan Teknologi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Datuk Nazrul Mansor, pembaharuan ini termasuk mengenal pasti bidang tumpuan khusus di bawah setiap teras berdasarkan arah aliran semasa ESG bagi menyumbang kepada usaha negara mengubah industri sawit seterusnya menyokong aspirasi kelestarian kebangsaan.
Ini termasuk keemerlangan operasi; hak asasi manusia dan piawaian buruh; kepelbagaian, ekuiti dan keterangkuman (DEl); pensijilan kelestarian, kebolehkesanan, penyumberan yang bertanggungjawab dan pengurusan rantaian bekalan; penglibatan dan pembangunan komuniti; tindakan iklim; tenaga boleh diperbaharui dan pengurusan tenaga; serta kepelbagaian biologi dan pengurusan tanah.
“Di FGV, kami mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh pihak perniagaan swasta dalam menangani cabaran alam sekitar dan sosial yang mendesak.
“Rangka Kerja Kelestarian ini adalan bukti dedikasi kami di FGV terhadap pertumbuhan ekonomi yang inklusif, tanggungjawab sosial dan perlindungan alam sekitar.
“Kami percaya dengan kerjasama dari pelbagai pihak ianya bolen memberi impak positif kepada industri sawit dan sektor berkaitan sekaligus memacu membina masa depan yang lebih baik untuk masyarakat dan negara," katanya selepas majlis pelancaran Rangka Kerja Kelestarian FGV di MAEPS Serdang pada Ahad.
Majlis pelancaran itu telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Pada majlis sama, Fadillah turut melancarkan program percubaan biodiesel B100 selama empat bulan, menjadikannya usaha pertama di Malaysia untuk menguji kebolehgunaan bahan api boleh baharu bagi lori tangki FGV.
Beliau juga menyaksikan penyerahan sijil borang keahlian pekerja FGV kepada Kesatuan Kebangsaan Pekerja Ladang (NUPW).
Sementara itu, FGV turut mempertingkat amalan buruhnya, termasuk memperkukuh dasar dan prosedur syarikat serta langkah usaha wajar untuk proses pengambilan, menyediakan infrastruktur dan kemudahan lebih baik seperti perumahan pekerja.
“Kita kena pastikan yang buruh-buruh yang bekerja dengan kita bebas daripada sebarang bentuk perhambaan manusia , kita juga tidak ada penggunaan pekerja kanak-kanak dan kita pastikan keluarga-keluarga yang bekerja dalam ekosistem FGV diberikan pendidikan melalui sekolah-sekolah,” tambahnya.
Sebahagian daripada usaha mengurangkan pelepasan karbon, FGV turut menggunakan produk biojisim sisa pemprosesas daripada operasi FGV untuk menjana tenaga boleh diperbaharui.
Kini FGV mempunyai dua loji janakuasa biojisim yang mampu menghasilkan kira-kira 20 megawatt (MW) serta 28 loji biogas berkapasiti 15.4 MW untuk program Tarif Masukan (FIT).
Selain itu, FGV terus menumpukan program pemuliharaan dan telah menyelamatkan 86 ekor beruang madu setakat ini, termasuk 75 ekor yang dipulihkan dan dilepaskan.
Program itu turut menyaksikan pelepasan 16 ekor ungka ke hutan selepas berjaya menyesuaikan diri dengan habitat liar selain kelahiran 14 ekor anak tenggiling dalam kurungan.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang FGV, tonton video baharu di platform media sosial FGV - Facebook, Instagram, TikTok, Linkedin dan YouTube, serta di laman web www.fgholdings.com.