FFCCND pentas Yayasan Peneraju hubung, perkasa modal insan digital bumiputera

Israr Khalid
Februari 26, 2024 19:44 MYT
Lebih 15 program ditawarkan dengan sokongan rakan program serta penyedia latihan bagi melengkapkan individu dengan kemahiran diperlukan dalam lapangan teknologi. -Yayasan Peneraju, FFCCND
KUALA LUMPUR: Buat julung kalinya, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) terus mengorak langkah sebagai ejen pemerkasa modal insan negara dengan menganjurkan Future Forward: Career Conference and Networking Day 2024 (FFCCND) yang berlangsung di Sentul Depot, Kuala Lumpur, pada Sabtu lalu.
Acara ini merupakan satu platform dinamik di mana ia memudah cara eksplorasi dan rangkaian kerjaya, bertujuan untuk menghubungkan penerima faedah dan alumni dengan syarikat-syarikat terkemuka, di samping membuka jalan untuk peluang latihan amali serta bimbingan kerjaya.
Ia juga turut menjadi satu landasan untuk penerima faedah dan alumni Yayasan Peneraju berkongsi pengalaman dan memperkukuhkan hubungan profesional.
Penganjuran acara tersebut dipacu perkembangan pesat Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) di mana transformasi digital yang kini giat dilaksanakan secara global dan juga di Malaysia.
Dalam langkah berani untuk menerajui trend industri yang semakin canggih, Yayasan Peneraju memberi tumpuan kepada kecerdasan buatan (AI) dan automasi, teras kepada agenda pendigitalan untuk merevolusi operasi, mengoptimum kecekapan, dan memupuk pengalaman pembelajaran yang diperkaya.
“Yayasan Peneraju terus komited untuk membangunkan bakat yang bersedia untuk masa depan yang selari dengan permintaan dinamik pasaran global, khususnya dalam bidang teknologi.
"Menyedari akan kurangnya penglibatan golongan Bumiputera dalam sektor ekonomi, acara FFCCND ini selaras dengan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) yang akan berlangsung tidak lama lagi, di mana kami mahu memperkasa Bumiputera di seluruh negara,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani.
Sementara itu, menurut Ketua Teras (Teknologi) Yayasan Peneraju, Ahmad Azizi Jamaludin, matlamat mereka tidak hanya tertumpu pada latihan, pensijilan dan penempatan pekerjaan untuk para penerima faedah, tetapi lebih kepada pembangunan nilai supaya mereka dapat membawa manfaat tidak hanya di tempat kerja tetapi juga dalam setiap aspek kehidupan.
“Perkembangan teknologi yang tiada hentinya memerlukan ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ berterusan untuk memastikan golongan Bumiputera memiliki kemahiran-kemahiran bersesuaian.
"Kita juga melihat apa kemahiran yang diperlukan di masa hadapan terutamanya dalam bidang teknologi dan pada masa yang sama bagaimana untuk manfaat teknologi itu dapat diterapkan serta diasimiliasikan dalam bidang-bidang lain,” jelas Azizi.
Lebih 15 program ditawarkan dengan sokongan rakan program serta penyedia latihan bagi melengkapkan individu dengan kemahiran diperlukan dalam lapangan tersebut seperti analitik data raya, keselamatan siber, pengkomputeran awan, kecerdasan buatan (AI), dan rantaian blok.
Antara aktiviti sepanjang acara berlangsung adalah temuduga, dialog, pameran kerjaya dan sesi-sesi perkongsian tentang bagaimana untuk membina portfolio profesional serta tip-tip temu duga kerja.
Keberkesanan rangkaian ini mempamerkan hubungan yang kukuh antara penerima faedah, alumni, pengurus/rakan program, penyedia latihan serta majikan.
Sorotan acara tersebut adalah “Fireside Chat,” di mana para pakar industri berbincang tentang landskap teknologi yang terus berkembang, peralihan peranan para pemimpin teknologi maklumat dan kunci kepada kejayaan dalam bidang tersebut.
Dengan hasrat mencetus anjakan paradigma menuju kejayaan dalam era digital, FFCCND menjadi manifestasi komitmen Yayasan Peneraju untuk membangunkan bakat-bakat sedia masa hadapan yang tidak hanya memenuhi permintaan di dalam negara malah melebihi permintaan global.
#yayasan peneraju #FFCCND #Future Forward Career Conference and Networking Day #ibrahim sani
;