Festival Turath Islami mantapkan budaya keilmuan Islam - Amirudin

Bernama
Mei 26, 2024 15:16 MYT
Amirudin (tengah) bersama Bekas Mufti Agung Negara Mesir Al-Imam Al-Allamah Prof De Ali Jum'ah (kanan) ketika hadir pada Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini. - Foto Bernama
SHAH ALAM: Penganjuran Festival Turath Islami merupakan aspirasi kerajaan Selangor dalam memantapkan budaya keilmuan sekali gus memperkukuh akidah umat Islam dan membentuk masyarakat yang lebih baik serta seimbang, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
"Pimpinan kerajaan negeri berpandangan bahawa untuk memartabatkan Islam, ia harus diisi dengan ilmu dan aktiviti kerohanian yang dianjurkan agama, berbanding menggunakan sentimen dan emosi semata-mata.
"Justeru, penganjuran festival ini adalah untuk mengisi ilmu berguna, diiringi dengan zikir, selawat dan aktiviti kebudayaan serta kesenian yang akhirnya akan membentuk sanubari kita yang bermakna," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan festival berkenaan yang dihadiri 1,000 pengunjung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini hari ini.
Festival Turath Islami Selangor yang bermula hari ini hingga 2 Jun melibatkan 11 acara antaranya program Daurah Hadis 40, Pameran Al Wahyu: Tradisi Keilmuan Islam Alam Melayu, syarahan, Munaqasyah Ilmiah dan program selawat selain penglibatan 23 ulama serta ilmuwan Islam dari dalam dan luar negara.
-- BERNAMA
#Festival Turath Islami #Amirudin Shari #budaya keilmuan Islam #akidah umat Islam
;