Festival silat platform promosi, warisan untuk generasi muda - Aminuddin

Bernama
Oktober 7, 2023 06:40 MYT
Aminuddin berkata, penting untuk semua pihak menyokong usaha kerajaan Negeri Sembilan dalam memelihara dan mempromosikan seni silat sekali gus memastikan tradisi itu berkembang. - Foto fail/BERNAMA
SEREMBAN: Penganjuran festival silat seperti Festival Gendang Silat Tradisi Negeri Sembilan (FesGest) antara platform mempromosi dan mewariskan seni bela diri itu terutama kepada generasi muda, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau berkata justeru, penting untuk semua pihak menyokong usaha kerajaan Negeri Sembilan dalam memelihara dan mempromosikan seni silat sekali gus memastikan tradisi itu berkembang.
"Gendang Silat bukanlah sekadar pertunjukan seni bela diri tetapi warisan dan tradisi yang sangat berharga, ia mencerminkan keindahan seni tempur tradisional Melayu dan suatu bentuk seni yang penuh dengan keanggunan serta kekuatan.
"Festival ini juga bukan semata-mata hanya acara seni dan hiburan malah peluang mempererat tali persaudaraan antara masyarakat selain berkongsi pengalaman dan kegembiraan dalam merayakan kekayaan budaya kita yang sangat unik," katanya ketika berucap merasmikan festival berkenaan di sini pada Sabtu.
Festival dua hari bermula hari ini berkenaan menggabungkan gendang silat asli dan seni silat anjuran Persatuan Seni Silat Gabungan Jempol (PSSGJ) membabitkan 320 peserta berusia lingkungan 8 hingga 35 tahun.
Dalam pada itu, Aminuddin berharap festival berkenaan dijadikan acara kebudayaan tahunan dalam kalendar aktiviti pelancongan negeri sekali gus memastikan ia kekal dijaga untuk generasi akan datang.
Beliau turut berharap dengan adanya festival seumpama itu, gendang silat dapat dimasukkan dalam kokurikulum di peringkat sekolah supaya tradisi berkenaan dapat dikekalkan.
-- BERNAMA
#generasi muda #FesGest #bentuk seni #tali persaudaraan
;