Festival Ramadan Putrajaya dijenama semula sebagai Ihya' Ramadan Putrajaya

Bernama
April 7, 2022 22:00 MYT
Shahidan berkata, penjenamaan semula itu bertujuan mengimarahkan bulan Ramadan dengan pengisian kerohanian, selain menyokong perkembangan ekonomi di Putrajaya. - Gambar/ FB Shahidan Kassim
PUTRAJAYA: Festival Ramadan Putrajaya, tarikan tahunan orang ramai terutama untuk mengimarahkan bulan Ramadan dan membeli belah di Putrajaya, dijenamakan semula sebagai Ihya' Ramadan Putrajaya (IRP).
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim yang merasmikan IRP 2022 di sini hari ini berkata penjenamaan semula itu bertujuan mengimarahkan bulan Ramadan dengan pengisian kerohanian, selain menyokong perkembangan ekonomi di Putrajaya.
Antara pengisian IRP 2022 adalah program ilmu melibatkan penceramah agama popular dan program Santai Petang@Ihya' Ramadan pada setiap Sabtu di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.
"PPj (Perbadanan Putrajaya) komited untuk terus menjadikan Putrajaya sebagai destinasi pilihan pelancong dan pengunjung khasnya ketika bulan Ramadan," katanya ketika berucap merasmikan IRP 2022 itu.
IRP 2022 dibahagikan kepada empat komponen utama iaitu Bazar Ramadan, Anjung Syawal, Kiblat Walk dan Laman Iftar yang kesemuanya terletak berhampiran Dataran Putrajaya dan akan berlangsung sehingga 2 Mei ini.
-- BERNAMA
#Ihya' Ramadan Putrajaya #Festival Ramadan Putrajaya #Shahidan Kassim #Ramadan
;