Festival Ramadan Putrajaya 2022 sasar 500,000 pengunjung

Eton Khir
Mac 15, 2022 15:47 MYT
Nik Shukri berkata karnival tersebut diadakan bagi menyokong perkembangan dan pemulihan ekonomi Putrajaya sekali gus membantu menghidupkan semula sektor ekonomi para peniaga tempatan yang terjejas ekoran pandemik COVID-19. - Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Sebanyak 500,000 pengunjung disasarkan dalam penganjuran Festival Ramadan Putrajaya 2022 (FRP 2022) yang bakal diadakan pada 31 Mac sehingga 2 Mei depan.
Naib Presiden Jabatan Perkhidmatan Bandar, Nik Shukri Nik Soh berkata festival itu akan beroperasi dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam di tiga lokasi terpilih iaitu Dataran Putrajaya Presint 3, Kompleks Perbadanan Putrajaya dan kawasan bersebelahan Masjid Tunku Mizan Zainal Abidin (MTMZA).
Beliau yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Festival Ramadan Putrajaya 2022 itu berkata, objektif utama penganjuran karnival tersebut diadakan adalah bagi menyokong perkembangan dan pemulihan ekonomi Putrajaya sekali gus membantu menghidupkan semula sektor ekonomi para peniaga tempatan yang terjejas ekoran pandemik COVID-19 yang melanda.
“Sebenarnya Bazar Ramadan dan Festival Ramadan ini kita memperuntukkan sebanyak 80 peratus penyertaan dari peniaga adalah penduduk dan peniaga di Putrajaya.
"Kita berhasrat untuk membantu peniaga-peniaga, penduduk di Putrajaya untuk meningkatkan atau membantu dari segi ekonomi penduduk Putrajaya," katanya pada sidang media Festival Ramadan 2022, di Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj), pada Selasa.
Turut hadir sama, Pengarah Pelesenan Jabatan Perkhidmatan Bandar Perbadanan Putrajaya, Jeffri Mustapa dan Pengarah Strategik ANS Diversified Sdn Bhd, Ahmad Faizal Zulkipli.
Pada masa sama Nik Shukri berkata, festival ini juga dibahagikan kepada empat komponen utama iaitu Bazar Ramadan, Anjung Syawal, Kiblat Walk dan Laman Iftar.
"Empat komponen utama tersebut antaranya ialah 160 gerai yang menjual juadah berbuka puasa dalam Bazar Ramadan, 200 penggerai untuk Anjung Syawal yang menjual barangan persiapan raya, 10 penggerai makanan dan minimuman serta barangan kering ditempatkan dalam Kiblat Walk, manakala 16 gerai untuk juadah berbuka puasa dan moreh menerusi Laman Iftar," katanya.
Sementara itu Nik Shukri turut berkata meskipun kelonggaran pada SOP yang telah diumumkan pada 1 April 2022 namun pihak PPj masih mengekalkan kaedah kawalan pematuhan SOP sedia ada yang telah ditetapkan sebelum ini.
“Pihak PPj juga mendapat kerjasama dari pihak Ibu Pejabat Daerah (IPD) Putrajaya untuk mengawal selia ketenteraman awam.
"Di samping itu, kami juga akan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan secara lebih teliti seperti mengimbas masuk menerusi sistem MySejahtera, penempatan kru, anggota penguatkuasa serta Anggota Penguatkuasa Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di pintu masuk checkpoint pada setiap 10 meter.
“Selain itu, termasuk mengehadkan pengunjung di Bazar adalah 800 hingga 1,000 orang dan PPj turut menyediakan pas masuk kepada pengunjung yang hadir dengan peruntukan masa pembelian juadah berbuka antara 15 antara 30 minit mengelakkan sebarang kesesakkan bagi mematuhi kawalan pematuhan SOP yang telah ditetapkan," jelasnya lagi.
#COVID-19 #Putrajaya #Festival Ramadan Putrajaya 2022 #Ramadan #Bazar Ramadan
;