Festival Makanan Malaysia 2024 tawar hidangan pelbagai rasa, diplomasi budaya ke Brunei
Bernama
November 15, 2024 05:30 MYT
November 15, 2024 05:30 MYT
KUALA LUMPUR: Masakan asli Malaysia menjadi tumpuan utama pada Festival Makanan Malaysia 2024 di Bandar Seri Begawan, membawa hidangan pelbagai rasa dan diplomasi budaya yang meriah ke Brunei.
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bandar Seri Begawan, dengan kerjasama Rizqun International Hotel dan Tourism Malaysia menganjurkan Festival Makanan Malaysia dari 15 hingga 17 Nov di Hotel Rizqun.
Festival Makanan bertujuan untuk mempromosikan masakan Malaysia kepada masyarakat Brunei dan mengukuhkan diplomasi budaya, fokus utama Rangka Kerja Dasar Luar Malaysia.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Datuk Mohd Aini Atan melahirkan harapan agar festival itu dapat memperkenalkan kepelbagaian hidangan masakan Malaysia dan juga memupuk hubungan budaya yang lebih mendalam antara Malaysia dan Brunei.
"Saya berharap festival ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada mempromosikan cita rasa gastronomi Malaysia yang kaya tetapi juga menambah nilai kepada kepelbagaian budaya dan memupuk hubungan yang lebih mendalam antara kedua-dua negara jiran," katanya dalam satu kenyataan.
Majlis perasmian Festival Makanan Malaysia telah diadakan pada Khamis.
Para tetamu menikmati pelbagai juadah asli Malaysia, termasuk nasi kandar, nasi lemak, nasi dagang, laksa dan nasi kerabu, yang disediakan oleh cef Malaysia.
Demonstrasi memasak yang mempamerkan hidangan popular Malaysia char kuey teow dan kuih talam sagu turut diadakan pada hari perasmian, yang diketuai sendiri oleh Datin Zaeidah Mohamed Esa, isteri Mohd Aini.
Majlis perasmian dihadiri orang kenamaan termasuk empat menteri kabinet dari kerajaan Brunei iaitu, Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Menteri Sumber Utama dan Pelancongan; Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid Menteri Pembangunan; Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi serta Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Selain itu ia turut dihadiri Timbalan Menteri, ketua misi diplomatik, pegawai kanan daripada kerajaan Brunei dan pemimpin korporat.
-- BERNAMA