Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang dijadual Februari 2023

Bernama
September 18, 2022 09:20 MYT
ADUN Tiram, Azizul Bachok (tiga, kanan) dan Rahim Nin (tiga, kiri) ketika menaikan Wau Merak pada Pelancaran sempena Festival Layang-Layang dan Wau Pasir Gudang Peringkat Kebangsaan 2022 di Bukit Layang-Layang, pada Sabtu. -Bernama
PASIR GUDANG: Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) ke-25 akan diadakan di Bukit Layang-Layang di sini pada Februari tahun depan.
Presiden Majlis Pelayang Malaysia Datuk A. Rahim Nin berkata program membabitkan penyertaan 25 negara itu dijangka menarik lebih 300,000 pengunjung.
"Saban tahun, festival ini menarik penyertaan dari pelbagai negara termasuk benua Amerika dan Afrika.
"Jumlah penyertaan adalah bergantung kepada kebenaran Kementerian Kesihatan dan kerajaan negeri," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Wau Merak sempena Festival Layang-Layang dan Wau Pasir Gudang Peringkat Kebangsaan di sini pada Sabtu.
Untuk rekod, kali terakhir FLLSPG diadakan ialah pada Februari 2019 yang menyaksikan penyertaan 45 negara termasuk Colombia, Bulgaria, Hungary dan Venezuela.
Bagaimanapun, FLLSPG ke-25 yang dijadual berlangsung pada Februari 2020 dibatalkan berikutan kebimbangan terhadap penularan COVID-19.
A. Rahim berkata kira-kira 100,000 pengunjung disasarkan hadir ke Festival Layang-Layang dan Wau Pasir Gudang Peringkat Kebangsaan yang berlangsung selama lima hari bermula Rabu hingga esok.
"Pada tahun ini, kita anjurkan festival berskala kecil sahaja bagi mengubat kerinduan rakyat tempatan terhadap festival layang-layang, walaupun hanya disertai peserta tempatan namun sambutan yang diterima amat menggalakkan," katanya.
Terdahulu, Wau Merak yang dihasilkan oleh Yayasan Warisan Johor menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai layang-layang pertama menggunakan kain tenunan benang Johor yang diterbangkan.
Wau Merak merupakan layang-layang tradisi negeri Johor.
-- BERNAMA
#Festival Layang-Layang Sedunia #Pasir Gudang #Wau Merak #A Rahim Nin
;