Festival Kreatif KL teroka ibu kota jadi pusat kebudayaan

Khalis Khadir
September 12, 2024 19:27 MYT
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa (tengah) merasmikan Festival Kreatif KL pada Khamis di Kuala Lumpur. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Di tengah kepesatan ibu negara Kuala Lumpur yang penuh dengan pencakar langit, ada ‘terselit’ beribu warisan seni dan budaya.
Nilai khazanah itulah menjadi objektif utama Festival Kreatif KL yang berlangsung hampir tiga bulan bermula 5 September lalu hingga 30 November ini.
Program anjuran ThinkCity yang bertaraf antarabangsa dengan lebih 100 acara itu melibatkan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan beberapa kementerian serta agensi lain.
Majlis yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa pada Khamis turut menyokong festival berkenaan agar ia menjadi acara tahunan seperti harapan penganjurnya.
“Festival ini bertujuan mempromosikan seni, budaya dan warisan Kuala Lumpur kepada khalayak yang lebih luas.
“Saya berharap ini jadi pemangkin untuk membantu memacu Tahun Melawat Malaysia 2026 apabila kita sasarkan kehadiran 36 juta pelancong dan mencapai sasaran pendapatan pelancongan RM147.1 bilion,” ujarnya.
Dr Zaliha juga berharap, Festival Kreatif KL terbabit dapat ‘menghapuskan’ norma kebiasaan apabila seni sering dikaitkan untuk dipamerkan di galeri semata-mata.
Sedangkan, beliau berpendapat maksud kesenian itu sendiri menunjukkan keluasan dalam meluahkan sesuatu perkara apatah lagi dengan kemunculan teknologi lestari yang seharusnya membantu sesebuah ibu kota berkembang luas.
Harapan sama turut disuarakan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif dengan menyasarkan festival itu menerima kehadiran 70,000 pengunjung.
Bagi Pengarah Urusan ThinkCity Datuk Hamdan Abdul Majeed, warisan seni tidak boleh dipandang remah kerana ia terbukti memberi pulangan ekonomi yang lumayan sekali gus dapat memperkasa komuniti tempatan.
Festival Kreatif KL menyasarkan kehadiran sekitar 70,000 pengunjung dengan menyajikan pameran seni, pertunjukan fesyen, persembahan teater dan muzik, lawatan interaktif serta pengalaman kulinari.
Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman sosial rasmi Kreatif KL untuk mendapatkan aturcara program yang diadakan di sekitar lokasi ikonik Kuala Lumpur.
#Festival Kreatif KL #Dr Zaliha Mustafa #Kuala Lumpur #seni dan budaya
;