Festival Kebudayaan Terengganu rancakkan sektor pelancongan setempat

Astro Awani
Ogos 22, 2020 07:33 MYT
ARIFIN: Program Festival Kebudayaan Terengganu akan diisi dengan aktiviti di mana pengunjung akan dapat melihat banyak tempat dan mengenali budaya Terengganu. - Foto Astro AWANI
Kerajaan Terengganu mengambil langkah proaktif bagi mengukuhkan industri pelancongan domestik menerusi kepelbagaian budaya, seni dan warisan di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata pelancongan tempatan perlu dimanfaatkan sepenuhnya sebagai langkah sementara untuk memulihkan industri pelancongan negara susulan terjejas akibat penularan COVID-19.
Menurut Ariffin, penganjuran Festival Kebudayaan Terengganu yang bakal berlangsung pada 27 Ogos hingga 6 September adalah antara langkah merancakkan sektor pelancongan Terengganu.
Ia membabitkan pelbagai aktiviti termasuk 'nelayan berkolek', 'cerita duyong', gamelan, gasing terbang yang diadakan di enam lokasi terpilih di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
“Walaupun dengan situasi semasa, kami jangkakan 10,000 pengunjung akan hadir khususnya dalam kalangan pelancong tempatan.
“Program itu nanti akan diisi dengan aktiviti di mana pengunjung akan dapat melihat banyak tempat dan mengenali budaya Terengganu,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan penutup kursus peserta Kampung Budaya Terengganu di sini pada Sabtu.
Kursus itu bertujuan memberi pendedahan kepada peserta berkaitan kemahiran asas termasuk komunikasi dan teknik pengucapan awam agar.
Ia bagi membolehkan mereka bertindak sebagai duta pelancongan dalam usaha memperkasa industri pelancongan Terengganu secara holistik.
#Ariffin Deraman #budaya #COVID-19 #Festival Kebudayaan Terengganu #kerajaan #pelancongan #sektor pelancongan #terengganu
;