GEORGE TOWN: Festival Boria Pulau Pinang yang dijadual berlangsung pada 12 hingga 14 Julai ini bakal menyajikan keaslian persembahan kebudayaan itu selain bermatlamat mengembangkan kesenian boria melalui himpunan generasi lama dan baharu dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

Timbalan Ketua Pengarah Sektor Kebudayaan dan Kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Rosnan Nordin berkata festival yang diadakan sempena Festival Kraf Pulau Pinang di Seberang Perai (SP) Arena Convention Centre, dekat sini juga bertujuan mengangkat persembahan boria sebagai antara seni persembahan yang menjadi identiti Pulau Pinang.

"Boria ini berasal dari Iran dan Mesir pada abad ke-19 lalu berkembang di Pulau Pinang. Yang menarik pada festival itu nanti kami bukan sahaja bawakan budaya serta tarikannya, malah festival itu juga menjana ekonomi masyarakat setempat," katanya ketika menjadi tetamu jemputan program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.

Beliau berkata festival itu akan menyajikan perarakan boria, pertandingan boria, wacana dan simposium bersama tokoh boria serta pencungkilan bakat boria.

Rosnan berkata pertandingan boria pula melibatkan dua kategori iaitu terbuka dan kanak-kanak serta pihaknya setakat ini telah menerima penyertaan daripada 20 pasukan boria dari seluruh negara.

Beliau berkata festival itu turut menampilkan beberapa artis popular tanah air antaranya Wan Naqiuddin Mohd Najib atau dikenali sebagai Naqiu Boboy yang akan turut berboria selain perarakan boria oleh peserta yang memakai kostum penuh warna-warni dengan menaiki beca di kawasan festival.

"Perarakan boria ini sebenarnya memang ada dari dulu lagi dan festival kali ini kita bawakan kembali perarakan itu kepada orang ramai supaya mereka terutama golongan muda tahu budaya sebenar boria itu," katanya.

Sehubungan itu, beliau menjemput orang ramai hadir ke festival boria itu untuk bersama-sama menghayati kebudayaan dan kesenian festival berkenaan.

Pasukan yang mahu menyertai pertandingan boria boleh menghubungi JKKN Pulau Pinang melalui talian 04-2817791 atau 04-2817791 dan melayari laman web JKKN atau laman sosial Facebook JKKN Pulau Pinang bagi maklumat lanjut.

-- BERNAMA