Festival Belia Putrajaya 2014 yang terbaik, guna kos kecil - Khairy

Bernama
Julai 9, 2014 23:22 MYT
KHAIRY: Beberapa kelemahan dan kekurangan sepanjang festival yang bertema 'Dari Belia Untuk Belia', telah dikenal pasti
Festival Belia Putrajaya 2014, yang berlangsung dari 22 hingga 25 Mei lepas, adalah yang terbaik pernah diadakan sejak festival itu dianjurkan empat tahun lepas, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Selain hanya menggunakan kos yang kecil, beliau berkata festival dilabelkan sebagai menyeluruh dengan penampilan pelbagai aktiviti dan program serta menarik ribuan belia walaupun diadakan pada skala kecil berbanding tahun-tahun sebelumnya.
"Kita melihat kejayaan dari segi penganjuran, pengurusan sisa pepejal, kawalan trafik dan pulangan. Itulah yang penting," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa di kementerian itu di sini, Rabu.
Beliau berkata beberapa kelemahan dan kekurangan sepanjang festival itu, yang bertema 'Dari Belia Untuk Belia', telah dikenal pasti dan pihaknya akan memastikan ia tidak berulang tahun hadapan.
Menurutnya kos penganjuran festival itu dapat dikurangkan kerana ia tidak ditumpukan di Putrajaya sebaliknya di peringkat daerah dan negeri bagi penganjuran pelbagai akitiviti.
Selain itu, perbelanjaan publisiti dikecilkan setelah KBS menggunakan media sosial seperti Facebook dan Twitter secara efektif.
Antara program yang menarik minat belia dan orang ramai ialah Karnival Belia Pelancongan, Minggu Basikal Antarabangsa Putrajaya, Minggu Fesyen Belia Asia, Perkhemahan Sahabat Belia, jualan buku Big Bad Wolf, pameran pekerjaan, pidato dan Tilawah al-Quran.
#Festival Belia Putrajaya 2014 #Khairy Jamaluddin #Menteri Belia dan Sukan
;