Ferrari lancar EV pertama hujung 2025
Bernama
November 22, 2023 19:58 MYT
November 22, 2023 19:58 MYT
KUALA LUMPUR: Ferrari SpA sedang merancang untuk memperkenalkan model kenderaan elektrik penuh (EV) pertamanya di seluruh dunia menjelang akhir 2025, kata Presiden Hab Timur Jauh dan Timur Tengahnya Dieter Knechtel.
Pelancaran EV pertama adalah pada 2026 dan syarikat itu akan menyediakan ruang untuk tiga teknologi enjin berbeza dalam model keretanya.
"Kami mengekalkan tiga teknologi enjin berbeza (dalam kereta kami) untuk beberapa tahun akan datang, sekurang-kurangnya sehingga 2030, (dan) kami akan mempunyai enjin pembakaran dalaman, hibrid serta kenderaan elektrik bateri (BEV).
"Kami cuba memberikan tawaran berbeza kepada individu dalam pasaran berbeza mengikut keperluan," katanya selepas pelancaran Bilik Pameran Ferrari-Ital Auto Malaysia baharu di Four Seasons Place hari ini.
Knechtel berkata syarikat kereta sport mewah itu sangat selesa dengan pasaran tempatan, walaupun dengan peningkatan persaingan dan kemunculan EV.
"Kami tidak begitu bimbang sekarang memandangkan kami telah merancang produk ini, ianya sangat mantap kerana ia akan dapat menangani segala kemungkinan halangan atau cabaran pada masa hadapan," katanya.
Sementara itu, Ital Auto Malaysia Sdn Bhd, pengimport dan pengedar rasmi Ferrari, melancarkan dua model baharu iaitu Ferrari Purosangue dan Ferrari Roma Spider.
Syarikat itu berkata Purosangue adalah penerima terbaru enjin V12 Maranello yang ikonik, beraspirasi semula jadi, ia merupakan kereta empat pintu empat tempat duduk pertama dalam sejarah Ferrari.
Roma Spider meneruskan lagi bentuk, volum dan spesifikasi Ferrari Roma yang sangat berjaya, dikuasakan oleh V8 turbo berkembar yang menghasilkan 620cv (cheval vapeur atau kuasa kuda), dengan daya tarikan tambahan iaitu bumbung keras yang boleh disimpan.
Menurut Ital Auto Malaysia, harga Purosangue bermula dari RM5 juta, dan Roma Spider dijual pada harga RM3.2 juta, dengan kedua-dua harga termasuk duti dan cukai.
Selain itu, syarikat itu juga melancarkan bilik pameran pertamanya di negara ini di Four Seasons Place di sini, yang dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 7 malam pada hari bekerja dan 10 pagi hingga 4 petang pada hujung minggu.
-- BERNAMA