Feri terkandas kerana elak tali sauh - Laporan siasatan
Adie Sufian Zulkefli
Oktober 25, 2022 14:32 MYT
Oktober 25, 2022 14:32 MYT
ALOR SETAR: Hasil siasatan Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd mendapati Feri Bahagia 98 yang membawa 547 penumpang itu terkandas di muara Kuala Kedah pada petang Ahad lalu dipercayai akibat kapten feri cuba mengelak tali sauh sebuah kapal yang ketika itu memasuki laluan.
Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, ketika kejadian, paras air laut di alur pelayaran Kuala Kedah menunjukan paras selamat untuk pelayaran iaitu 1.7 meter.
“Hasil siasatan mendapati feri itu bergerak dari Terminal Feri Penumpang Kuah dengan membawa 547 penumpang sebelum terkandas di beting pasir pada kedudukan lebih kurang 1.5 batu nautika dari Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah.
"Sebaik terkandas Kapten Feri menghubungi Jabatan Laut Malaysia (JLM), Pejabat Laut Kuala Kedah bagi mendapatkan bantuan kecemasan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Baharin berkata, bantuan segera daripada bot nelayan yang berjaya merapati feri bagi memindahkan sebahagian penumpang terutama warga emas, ibu mengandung dan kanak-kanak.
Katanya, seramai 272 orang penumpang berjaya dibawa secara berperingkat oleh bot Perkasa 1224 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan bot ronda PSC 19 Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke Terminal Feri Kuala Kedah.
Katanya, setelah lebih lima jam dan air mulai pasang, feri tersebut kemudiannya ditunda ke jeti dengan dua buah bot tunda sambil membawa lebihan penumpang lain.
Pada Ahad, Astro AWANI melaporkan, feri yang membawa 547 penumpang dan kru dari Langkawi ke Kuala Kedah terkadas di muara Kuala Kedah akibat air laut surut.